JUBAH yang sesuai digayakan saban hari juga memudahkan solat.
JUBAH yang sesuai digayakan saban hari juga memudahkan solat.
MASIH mengekalkan kesopanan untuk bergaya menarik.
MASIH mengekalkan kesopanan untuk bergaya menarik.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Penampilan yang sopan dan tidak keterlaluan menjadi fokus utama sesetengah Muslimah yang mahu mengekalkan gaya sederhana, tetapi tampak kemas serta feminin.

Justeru, tidak hairanlah jika jubah menjadi pilihan kerana ia selesa dan menepati cita rasa asalkan ia tidak direka dengan potongan serta material yang mengikut bentuk badan.

Banyak pilihan dan rekaan jubah yang boleh didapati di pasaran. Malah, penggunaan material dan elemen perincian yang dipelbagaikan juga menjadikan jubah tampak lebih menarik dan anggun, misalnya koleksi jubah Abeer diperkenalkan Imaan Boutique, baru-baru ini.

Imaan Boutique adalah cetusan idea Rubina Mohamed Amin dan selebriti terkenal, Wardina Safiyyah Fadlullah bagi mengetengahkan rekaan jubah moden dengan warna menarik pada harga berpatutan.

Helaian jubah Abeer yang diilhamkan Wardina Safiyyah boleh didapati dalam 14 warna pilihan menarik. Ia direka istimewa menggunakan fabrik lycra berkualiti tinggi dan selesa digayakan sesuai dengan cuaca tidak menentu di negara ini.

Menariknya, koleksi jubah yang ditampilkan ini sesuai digayakan setiap hari, malah ia juga sedia dipakai untuk memudahkan Muslimah mengerjakan solat tanpa menggunakan telekung.

Bagi Muslimah yang mahu tampil sedikit glamor, gayakan jubah La’Chanelia yang diilhamkan menerusi jenama terkenal, Chanel. Jubah gaun berpotongan puteri itu tampak unik dengan penambahan elemen tweed pada bahagian hujung lengan baju.

Kesederhanaan dalam menggunakan elemen perincian membuatkan jubah gaun ini bukan saja sesuai digayakan ke majlis istimewa, malah ia juga boleh dipakai ketika ke pejabat untuk penampilan kasual.

Lebih selesa dan pantas bergaya apabila material satin rayon kusam digunakan dan pemakai tidak perlu menggosok terlalu lama kerana fabrik berkenaan mudah licin.

Sama seperti jubah gaun, koleksi De’Chloe yang diilhamkan oleh jenama Dior turut disempurnakan dengan rekaan mesra penyusuan, wuduk dan solat.

Jubah gaun berpotongan puteri itu dilengkapi dengan perincian reben tweed yang ditempah khas untuk menghiasi bahagian hujung lengan agar penampilan tampak anggun.

Bertambah mudah apabila jubah berkenaan direka dengan idea menarik bagi menggabungkan konsep mesra wuduk, menyusu dan sedia dipakai untuk solat.

Jika mahukan jubah khas mesra penyusuan, pilihan helaian Anabell lebih tepat kerana ia direka dengan penambahan zip di bahagian dada bagi memudahkan Muslimah menyusukan anak mereka.

Jubah yang boleh digayakan pemilik tubuh bersaiz S, M dan L ini direka dengan potongan empayar (kembang).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:07 AM