ANTARA rekaan gaun labuh Florence bercorak untuk Muslimah yang bijak bergaya.
ANTARA rekaan gaun labuh Florence bercorak untuk Muslimah yang bijak bergaya.
POTONGAN blaus Marseille memberi kesan bentuk badan yang tirus, manis digayakan dengan skirt potongan duyung.
POTONGAN blaus Marseille memberi kesan bentuk badan yang tirus, manis digayakan dengan skirt potongan duyung.
NURUL Akmar (kanan) begitu mementingkan ciri praktikal, sopan daan moden dalam setiap rekaan.
NURUL Akmar (kanan) begitu mementingkan ciri praktikal, sopan daan moden dalam setiap rekaan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Anggunnya seseorang wanita bukan terletak pada raut wajahnya yang sempurna saja, pilihan gaya pakaian juga memainkan peranan penting bagi Muslimah kekal tampil sopan dan menawan.

Tidak hanya mementingkan rekaan semata-mata, potongan, penggunaan fabrik sesuai, warna dan keselesaan yang terdapat pada pakaian mampu memberi kepuasan kepada si pemakai.

Pengasas butik dalam talian Fraai Malaysia, Nurul Akmar Azmi berkata, koleksi yang ditampilkannya banyak menekankan rekaan moden, mengikut cita rasa generasi muda berkerjaya masa kini.

“Kebanyakan koleksi kami sesuai digayakan oleh Muslimah yang mementingkan kesopanan dalam bergaya kerana material yang digunakan tidak jarang dan labuh, tetapi masih mengekalkan penampilan versatil serta elegan.

“Misalnya, blaus Marseille yang menggunakan material sutera satin. Fabrik yang digunakan banyak membantu memberi kesan alunan pada pakaian selain ia lembut dan selesa dipakai sepanjang hari.

“Potongan belahan di bahagian depan blaus labuh itu memberikan kesan bentuk badan yang tirus kepada si pemakai terutama jika individu itu memiliki tubuh yang agak berisi,” katanya.

Bermula daripada saiz S hingga L, terdapat enam pilihan warna menawan yang ditampilkan seperti ungu orkid dan biru lembut bak bunga seri pagi.

Blaus berkenaan tampak manis jika digayakan dengan skirt labuh atau celana, boleh disuai padan sama ada untuk ke tempat kerja atau bersantai bersama sahabat handai.

Bagi Muslimah yang gemarkan gaun labuh, pilihan koleksi Florence sangat sesuai. Ia diperbuat daripada fabrik sifon bercorak dengan potongan jubah puteri.

Menariknya, pemakai tidak perlu risau mengenai isu material yang jarang kerana gaun itu dijahit bersama kain lapisan dalam yang tebal untuk melindungi bentuk tubuh.

Lebih mudah apabila gaun labuh berkenaan turut dilengkapi ciri mesra penyusuan dan wuduk, antara ciri penting pakaian yang digemari ramai Muslimah hari ini.

Selain blaus dan gaun, butik ini turut menyediakan rekaan skirt labuh. Skirt berpotongan duyung longgar sengaja dipilih bagi menutup kesan bentuk kaki yang menonjol ketika ia digayakan.

Ia menarik dipadankan bersama blaus yang labuh dan longgar tatkala bersantai atau mengunjungi pusat beli belah di hujung minggu bersama keluarga.

“Setiap rekaan ada tema tersendiri dan kami mendapat ilham dari kota atau tempat yang glamor seperti Florence, Itali. Walaupun rekaan ditampilkan menekankan konsep moden, kami masih mementingkan ciri utama iaitu menutup aurat, praktikal, versatil dan unik.

“Idea untuk membuka perniagaan secara dalam talian tercetus selepas mengalami kesukaran mencari rekaan pakaian yang moden namun sopan dengan harga berpatutan.

“Justeru, apabila mendapat peluang ini saya mahu kongsi idea bergaya menarik, anggun, sopan dan praktikal kepada Muslimah bagi memenuhi cita rasa mereka yang mahu menjaga penampilan,” katanya.

Pada masa sama, butik berkenaan turut menjalankan pencarian model yang diadakan secara tahunan untuk menampilkan wajah baru yang bijak bergaya anggun dan sopan bagi membawa nama jenama berkenaan. Sebarang maklumat lanjut, layari http://www.fraai.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:02 AM