HIDANGAN yang sangat enak.
HIDANGAN yang sangat enak.
Oleh NORIAH IDRIS


Penggemar makanan Barat boleh menikmatinya secara eksklusif tapi harga berpatutan jika berkunjung ke CZ Grills.

Pemilik CZ Grills, Yusrina Mohd Yusof, 42, berkata, premisnya di Taman Maluri, Kuala Lumpur itu menyediakan makanan Barat yang sangat murah selain mementing­kan soal kebersihan dalam penyediaan makanan.

"Kami mempertaruhkan lebih 50 menu makanan Barat yang popular seperti stik sirloin Americano, lamb chop, quesadillas dan pel­bagai lagi.

"Kami juga mengemukakan hidangan tradisional iaitu set nasi lemak ringkas berserta minuman dalam menu sarapan pagi yang disediakan seawal jam tujuh hingga 11 pagi. Sandwic, roti bakar atau telur separuh masak dikenali sebagai 'telur gegar' turut disediakan.

"Bagi hidangan tengah hari, set nasi ayam berserta minuman adalah paling popular dalam kalangan pengunjung," katanya.

Yusrina tidak menafikan waktu tengah hari adalah saat paling sibuk dan kebanyakan pelanggan lebih gemar memilih 'set ekspres'.

Katanya, antara menu Barat ditawarkan secara ekspres adalah BBQ chicken, chicken chop dan chicken burger dengan harga RM10 berserta minuman, manakala nasi ayam berserta minuman berharga RM5.

Namun katanya, set itu hanya ditawarkan pada jam 12 tengah hari hingga dua petang.

Tambahnya, restoran yang beroperasi sehingga 11 malam itu boleh menampung 100 pelanggan pada satu-satu masa selain turut menerima tempahan jika ada yang berhasrat mengadakan majlis atau keraian tertentu.

Ketua jurumasak, Fizam Izhar Shah, 32, yang ada pengalaman lebih 12 tahun dan pernah bertugas di restoran mewah di Amerika Syarikat dan Singapura pula menyatakan, dia meletakkan ketetapan waktu dalam setiap makanan disediakan.

"Bagi memastikan kualiti masakan, had masa ditetapkan antara 15 hingga 20 minit supaya pelanggan tidak menunggu terlalu lama.

"Makanan yang dipang­gang seperti daging atau ayam pula memerlukan masa lebih lama dan saya pastikan kualitinya yang terbaik demi kepuasan pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:00 AM