Khairul Azwan bersama kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia pada Pra Pelancaran Program HELP Tuisyen 2015.
Khairul Azwan bersama kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia pada Pra Pelancaran Program HELP Tuisyen 2015.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Pemuda UMNO sudah bersedia dengan apa juga arahan pucuk pimpinan. Kita akan gerakkan jentera yang sudah bersedia sejak dua bulan lalu," kata Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun.

Katanya, peluang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh akan digunakan sebaiknya untuk menjelaskan isu-isu berbangkit serta dasar kerajaan kepada pengundi di kawasan itu.

"Kita memang bersedia. Sama ada calon dari kalangan Pemuda atau tidak itu terserah pada pucuk pimpinan. Wanita dan Puteri juga akan menghantar nama, kita juga akan hantar seperti mana biasa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pra Pelancaran Program HELP Tuisyen 2015 di sini, sebentar tadi.

Beliau mengulas mengenai perkara itu selepas kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytiharkan kosong berkuat kuasa 16 Mac lalu selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya seperti mana PRK lain, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan menyatakan pendirian sayap parti itu kepada pucuk pimpinan untuk memberi peluang baru dalam kalangan orang muda dan setakat ini pergerakan itu sudah mempunyai beberapa nama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 6:27 PM