TERTUDUH dihadapkan atas tuduhan memiliki pelbagai jenama rokok haram. FOTO Syahirah Abdullah
TERTUDUH dihadapkan atas tuduhan memiliki pelbagai jenama rokok haram. FOTO Syahirah Abdullah
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Suami isteri mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki sebanyak 1,490 paket rokok kretek dan putih pelbagai jenama bernilai RM1, 704.

Rozi Mohd Noor, 44, dan isterinya, Siti Esah Sidek, 40, dari Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang membuat pengakuan bersalah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (iii) (aa) akta yang sama dibacakan di hadapan Majistret Rabiatul Adawiyyah Che Khalid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki barang-barang larangan iaitu 1,490 paket rokok pelbagai jenama yang belum diluluskan Kastam yang ditaksirkan bernilai RM1,704 dengan mengangkutnya menggunakan kereta.

Pasangan suami isteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan, Jalan Hassan Hussin, Taman Safiah Murni, Bukit Payong, Marang, 12.10 tengah malam pada 27 Mac lalu.

Sejurus pengakuan bersalah mereka direkodkan, Rabiatul Adawiyyah menetapkan 5 April depan sebagai tarikh sebutan kes di Mahkamah Majistret Marang dan membenarkan mereka diikat jamin RM8,000 setiap seorang.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu Mohd Zaizul Azli Mohamed Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 3:51 PM