Alor Setar: Seorang pesara didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap dua pertuduhan memiliki dan menyimpan rokok tidak sah, dua tahun lalu.

Tertuduh Azmi Ariffin, 60, dilihat tenang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa mempunyai milikan barang larangan iaitu sejumlah 120 karton rokok John Black, Surya Gudang Garam (100), Surya (5), John (5) John Limited (5), Luffman Virginia (4), Minna (3), Djarum Super (3), Gudang Garam Nusantara (2), June Slim Menthol (2), Fisher (2), Bingo (2) dan masing-masing satu karton rokok jenama Luffman (merah) serta Dunhill.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan sebuah premis kediaman di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, di sini, jam 3.30 petang pada 27 Julai 2012.

Semua rokok terbabit mempunyai nilai taksiran RM3,388.80 iaitu barangan larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 dengan niat mengelak larangan itu.

Azmi turut didakwa menyimpan barang larangan iaitu sejumlah 150 karton rokok putih John White yang ditaksirkan bernilai RM1,500 di dalam kereta Perodua Kembara hitam yang diletakkan berhampiran rumah berkenaan jam 4.20 petang pada hari sama. Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Azmi didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (iii) (aa) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, mahkamah mengarahkan tindakan melucutkan hak semua rokok dan kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan kepada Kerajaan Malaysia untuk dilupuskan mengikut Peruntukan Lucut Hak mengikut Seksyen 127 (1) Akta Kastam 1967.

Mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman denda RM35,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda bagi tuduhan pertama, manakala RM15,000 atau enam bulan penjara untuk pertuduhan kedua.

Azmi dalam rayuannya memohon kepada mahkamah meringankan jumlah denda yang dikenakan kerana tiada pekerjaan tetap dan mempunyai tanggungan empat anak termasuk seorang daripadanya masih menuntut di institut pengajian tinggi (IPT).

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis Abdul Malik Awang Kechik yang mengendalikan prosiding memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada dirinya dan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 September 2014 @ 3:59 PM