Kuala Lumpur: Acara kemuncak CIMB Fiesta 2014 yang bermula di pusat beli-belah Mid Valley di sini, semalam, dijangka meraih jualan bernilai RM6 juta iaitu peningkatan hampir 10 peratus berbanding tahun lalu dengan lebih 100,000 pengunjung.

Ketua Bahagian Kad, Aset Runcit dan Deposit CIMB Bank, Vipin Kumar Agrawal berkata, pemegang kad CIMB Bank menerima mata bonus lima kali ganda atau rebat tunai dua kali ganda untuk setiap ringgit yang dibelanjakan pada acara kemuncak itu.

“Pengunjung juga ditawarkan ‘RM50 Bonanza’ iaitu mereka boleh membeli semua barang pada harga RM50 dan berpeluang memenangi tawaran menarik serta eksklusif meliputi pakej makanan dan pelancongan Asean,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

CIMB Bank ketika ini memiliki 3.8 juta ahli pemegang kad membabitkan kad debit, kredit dan Kwik dengan sejumlah 2.9 juta adalah pemegang kad debit.

CIMB Fiesta yang diadakan selama tiga hari turut menawarkan sehingga 70 peratus diskaun yang merangkumi pelbagai produk termasuk peralatan dapur dan rumah, peranti teknologi maklumat yang boleh dibeli dengan menggunakan kad CIMB selain pihak bank turut memberi kelulusan dalam tempoh sejam bagi permohonan kad kreditnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:03 AM