GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

CIMB Bank Bhd (CIMB Bank) mengesahkan transaksi ‘direct debit’ yang tular di media sosial ketika ini adalah sah yang dibuat pelanggan.

CIMB Bank menerusi kenyataan di Facebook rasmi mereka memaklumkan insiden terpencil itu adalah berkenaan transaksi tidak lengkap yang dibuat pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langganan atau perkhidmatan penstriman dalam talian.

“Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan yang terbabit bahawa transaksi ‘direct debit’ baru-baru ini adalah transaksi kad debit sah yang dibuat pelanggan.

“Kami mendapati, transaksi tidak lengkap yang dibuat pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langganan atau perkhidmatan penstriman dalam talian,” katanya hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun transaksi-transaksi itu telah dilabel semula sebagai ‘direct debit’, menyebabkan kekeliruan kepada pelanggan mereka.

“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan akan menghubungi pelanggan yang terbabit secara langsung,” katanya.

Menerusi kenyataan sama di Facebook berkenaan, ramai netizen yang ‘mengamuk’ dan mempersoalkan kenapa transaksi itu tidak dilabelkan kepada perincian transaksi yang dilakukan pelanggan.

Seorang pengguna Facebook dengan nama, Iqbal Ikhwandy berkata, terma yang digunakan sebagai ‘direct debit’ mengelirukan pelanggan.

“Memang confusing (mengelirukan) pun terma Direct Debit tu. Lagipun tiada details (perincian) transaksi apa. Pulangkan duit kami balik CIMB Bank,” katanya.

Rata-rata netizen hari ini mempersoalkan sistem perbankan bank itu selepas wang mereka didapati lesap dengan transaksi ditulis ‘direct debit’.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 12:29 PM