TOMYAM kelapa.
TOMYAM kelapa.
PEKERJA Restoran Suriani Nasi Kukus dan Nasi Ulam  menyediakan hidangan tomyam kelapa.
PEKERJA Restoran Suriani Nasi Kukus dan Nasi Ulam menyediakan hidangan tomyam kelapa.
ROSNISUHAITA menunjukkan tomyam kelapa yang popular di restorannya.
ROSNISUHAITA menunjukkan tomyam kelapa yang popular di restorannya.
Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Walaupun kedainya tersohor dalam kalangan warga Kelantan kerana hidangan nasi kukusnya yang enak dan murah, pemilik Suriani Nasi Kukus dan Nasi Ulam belum puas untuk tampilkan kelainan bagi menambat hati pengunjung.

Sudah beroperasi lebih 20 tahun menjadikan Rosnisuhaita Che Ngah, 42, berani mencuba ilmu baru demi menarik perhatian pelanggan.

Lari daripada kebiasaan menjual nasi kukus, dia tampil dengan hidangan yang menggunakan kelapa muda sebagai bahan utama.

Katanya, penggunaan kelapa muda sebagai bekas menghidangkan suatu hidangan menjadi tarikan dan menampilkan kelainan tersendiri.

“Untuk tampil berbeza, dua bulan lalu saya memperkenalkan tomyam kelapa bagi menarik pelanggan.

“Saya mendapat ilham daripada hidangan aiskrim kelapa yang diperkenalkan tahun lalu dan menjadi viral dalam kalangan masyarakat Malaysia,” kataya.

Dia menggunakan kelapa sebagai ganti kepada bekas hidangan tomyam manakala air kelapa turut digunakan bagi memasak tomyam.

Menurutnya, air kelapa sebagai bahan memasak tomyam jarang digunakan tetapi inilah keistimewaan restoran itu.

“Air kelapa digunakan sebagai ganti kepada air biasa dan kemanisan semula jadi air kelapa tidak memerlukan gula atau perasa tambahan.

“Selain tomyam, penyediaan sup ekor, sup tulang sup belut dan siakap stim turut menggunakan kelapa,” katanya.

Beliau berkata, sejak diperkenalkan, permintaan terhadap tomyam kelapa amat menggalakkan dan memerlukan bekalan lebih 200 kelapa muda untuk tempoh dua atau tiga hari sekali.

Katanya, bekalan kelapa itu diperoleh daripada pembekal tempatan dan Thailand.

“Pelanggan boleh mendapatkan hidangan itu dengan harga berpatutan dan bersesuaian dengan hidangan kami.

“Kami turut menyediakan aiskrim kelapa yang mendapat sambutan ramai,” katanya.

Kedainya terletak di Jalan Long Yunus, Kota Bharu dan dibuka setiap hari dari jam 2 petang sehingga 12 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 11:45 AM