Syanty Octavia Amry

Sesudah berehat seketika perang lawak terbesar bakal meletus lagi!. Barisan kumpulan baru kini diperkenalkan dan timbul beberapa spekulasi di kalangan peminat jenaka. Apa yang pasti, tiada persengketaan yang berlaku di antara Jep dan Shuib Sepahtu dengan Rahim, apabila mereka memilih Ilya Senario pula untuk bersama mereka dalam Maharaja Lawak Mega (MLM2014) tahun ini demi memberi peluang kepada Ilya maju ke depan.

Menurut Jep, kerjasama yang dijalin bersama Rahim pada MLM2013 adalah perjanjian untuk program itu saja dan Rahim menyedari perkara itu. Jep ketika ditemui berkata, sejak awal dia menawarkan Rahim untuk menyertai mereka dalam MLM2013, Rahim sudah diberitahu kontraknya setakat itu saja.

"Kami bukan menyingkirkan Rahim tetapi apa yang kami buat berdasarkan perjanjian kontrak mengikut musim program saja dan Rahim setuju dengan perkara itu.

"Tiada istilah bergaduh atau sengaja menyingkirkan Rahim, semua ini kami lakukan untuk sama-sama membantu menaikkan nama pelawak yang sedia ada.

"Menyertai MLM juga adalah medium untuk saya lebih mengenali pelawak lain. Namun dapat kita lihat ada yang sudah lama menjadi pelawak tetapi masih kurang dikenali.

"Justeru, saya cuba membantu mereka. Saya lihat selepas menyertai kami dalam MLM2013, nama Rahim mula mendapat tempat di hati peminat. Begitu juga Ilya, walaupun sudah lama dalam bidang ini sejak bersama Senario lagi, ada peminat yang masih tidak mengenali dirinya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran MLM2014, baru-baru ini.

Jepp berkata apa yang dilakukannya sebagai usaha untuk menaikkan nama-nama pelawak di negara ini.

MLM2014 bakal bersiaran pada 14 November ini di saluran Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134) setiap Jumaat, jam 10 malam.

Sebanyak 13 kumpulan bertanding di mana empat adalah mereka yang terpilih melalui cabaran Kerusi Panas MLM bagi merebut gelaran juara yang membawa pulang wang tunai RM500,000.

Kumpulan yang bertanding ialah Sepahtu, Shiro, Bocey, Virus, Nabil, Comey, Jalor, Sayot, Kepoh dan SYJ.

Sementara itu, pelakon dan pelawak, Zizan Razak yang sebelum ini bersama Jozan turut menyertai MLM2014 dengan kumpulan baru, Virus yang turut dianggotai oleh Tauke dan Pak Yus yang pada musim lalu adalah kumpulan Jambu.

Mewakili kumpulan Virus, Tauke ketika ditemui berkata, mereka mahukan kelainan pada tahun ini kerana itulah menambah seorang lagi ahli dengan mengambil Zizan.

"Bukan senang Zizan menerima tawaran kami. Hampir dua bulan berhubung dengannya baru dia terima. Pemilihan Zizan bukan kerana popularitinya semata-mata tetapi kerana hasrat kami berdua juga yang teringin bekerjasama dengannya.

"Kebetulan Johan tidak dapat menyertai MLM tahun ini, kami berdua sepakat untuk mengajak Zizan menyertai kumpulan kami. Kami sedar cara lawak masing-masing berbeza, oleh itu kami sudah berjumpa dan berbincang untuk bersama-sama berkongsi idea supaya tiada masalah yang berlaku pada masa akan datang.

"Kadang kala ada juga terfikir untuk mengambil perunding pelawak, namun segala-galanya masih dalam perbincangan. Bukan tidak yakin dengan lawak kami sendiri, kami hanya mahu pastikan apa yang dirancang berjalan lancar tanpa sebarang masalah," katanya.

MLM2014 masih mengekalkan sistem pemarkahan seperti yang lalu di mana 70 peratus markah juri tetap dan 30 peratus undian penonton. Ia turut mengekalkan pengacaranya Datuk AC Mizal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:01 AM