Akhirnya, Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 sampai ke penghujungnya dengan lima nama besar dalam arena lawak negara bakal bertanding di pentas akhir, malam ini. Siapakah yang akan dijulang sebagai juara?

Pada saingan separuh akhir minggu lalu, episod penuh drama telah dilalui oleh kumpulan tersingkir iaitu Virus yang dianggotai oleh Zizan, Tauke dan Pak Yus.

Dikritik secara keras oleh juri jemputan, Nur Fazura, Virus gagal menambat hati pengundi apabila memberikan persembahan lawak yang hambar.

Idea yang dibawakan kumpulan itu ke atas pentas pada minggu yang menyajikan persembahan bertemakan ‘Props dan Loghat’ nyata kurang menjadi dan kritikan pelakon jelita tersebut dipersetujui oleh barisan juri lain serta orang awam apabila Virus sekadar meraih 48.61 peratus undi.

Ia adalah peratusan terendah berbanding undian yang dimiliki oleh barisan pelawak lain iaitu Sepahtu (53.02), Zero (60.21), Shiro (51.32), Bocey (55.36) dan Nabil Ahmad yang menduduki tangga teratas carta undian dengan 62.48 peratus.

Kurang bersetuju dengan kritikan juri, Zizan bangkit mempertahankan persembahan Virus, membangkitkan situasi tegang di atas pentas yang seterusnya melarat ke laman media sosial apabila ada antara peminat Virus menyuarakan ketidakpuasan di profil Instagram peribadi Fazura.

Ada juga yang menempelak kelakuan Virus dan menganggap Zizan sebagai ‘perasan bagus’.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah penganjuran MLM di mana ketiga-tiga pelawak terkenal yang menganggotai Virus gagal mara ke pentas akhir, sekaligus memberikan peluang besar kepada kumpulan Sepahtu, Zero, Shiro, Bocey dan juga Nabil untuk merebut mahkota MLM 2014.

Begitupun, tiba masanya untuk kita melupakan kontroversi yang berlaku antara Virus dan Fazura rentetan daripada penyingkiran tersebut.

Ayuh berikan perhatian kepada persembahan pentas akhir yang ditunggu-tunggu oleh semua.

Menyenaraikan ‘Bebas dan Muzikal’ sebagai tema minggu ini, pastinya kesemua finalis sedang giat memerah otak dan berlatih untuk memberikan aksi kelakar terbaik kepada barisan juri dan penonton.

Tema ‘Bebas’ pastinya menjadi kegemaran finalis kita apabila mereka mampu menyajikan lawak terbaik berdasarkan kepakaran masing-masing. Elemen ‘Muzikal’ pula menjanjikan aksi komedi berirama, satu kelainan dari tema-tema yang dipilih sebelum ini.

Mampukah kumpulan Zero yang bangkit dari posisi ‘kerusi panas’ minggu lalu menarik perhatian juri dan pengundi?

Bagaimana pula nasib Nabil, satu-satunya finalis yang akan beraksi bersendirian di atas pentas?

Adakah Shiro, Sepahtu dan Bocey bakal mengulangi episod gemilang yang dinikmati pada MLM edisi yang lalu apabila masing-masing berjaya meraih tempat?

Sama-sama kita saksikan pentas akhir Maharaja Lawak Mega 2014 malam ini untuk mengetahui jawapan kepada semua persoalan tadi.

Bakal bersiaran secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil, tontoni pentas akhir Maharaja Lawak Mega 2014 di Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika juga Mustika HD (Saluran 134) dan Astro on-the-go (Warna).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 11:33 AM