DR Daniel menunjukkan bahagian usus buntu yang boleh tersumbat lalu menjadi punca keradangan apendiks.
DR Daniel menunjukkan bahagian usus buntu yang boleh tersumbat lalu menjadi punca keradangan apendiks.
Oleh Nor Faizah Mohamed


“Makan buah perlahan-lahan. Nanti tertelan biji, takut kena apendiks.” Ia antara ayat yang biasa didengar dalam kalangan masyarakat kita terutama daripada golongan lebih berusia.

Sejak kecil, ramai dalam kalangan kita disogokkan dengan fahaman ini. Biji buah-buahan dan sayuran seperti jambu, tembikai juga cili sentiasa dikaitkan sebagai punca masalah keradangan apendiks (atau istilah perubatannya apendisitis).

Hakikatnya, masalah keradangan apendiks ini terjadi apabila bukaan daripada apendiks menuju ke tiub besar atau sekum (cecum) tersekat. Sekatan itu mungkin terjadi kerana lendir tebal dalam apendiks atau serpihan najis yang keras daripada tiub besar termasuk ke apendiks.

Jelas Pakar Perunding Am dan Bedah Laparaskopik Pusat Perubatan Tropicana, Dr Muhd Daniel Soma, secara umumnya sistem pencernaan badan bermula dari esofagus, perut, usus kecil serta usus besar manakala apendiks pula berada di persimpangan antara usus kecil dan usus besar.

“Apendiks ini juga dikenali sebagai usus buntu kerana makanan yang dihadam mudah memasuki saluran berkenaan tetapi tiada ruang untuk keluar.

“Apabila ini berlaku, kawasan terbabit berisiko mengalami keradangan apendiks lalu membuatkannya membengkak hingga boleh pecah jika tidak mendapat rawatan segera.

“Ia sama sekali tiada kaitan dengan biji buah-buahan yang tersumbat. Mungkin dan tidak mustahil sedikit sebanyak ada menyumbang kepada masalah itu tetapi peratusannya terlalu kecil untuk dijadikan sebagai punca,” katanya.

SEKUM

Semua manusia dilahirkan dengan apendiks iaitu satu tiub sempit yang terletak di tiub besar (sekum) seperti cacing. Ia hanya memiliki satu bukaan. Lapisan dalaman apendiks menghasilkan sejumlah kecil mukus yang mengalir ke sekum.

Dinding apendiks me­ngandungi tisu limfa sebagai sebahagian daripada sistem imun untuk menghasilkan antibodi. Seperti kolon (usus), dinding apendiks juga mengandungi lapisan otot tetapi tidak terbentuk dengan sempurna.

Bagi manusia, apendiks ini tidak berfungsi. Bagaimanapun untuk haiwan yang makan daun, apendiks berfungsi untuk menghadam semua selulosa yang diperoleh daripada makanannya.

Untuk manusia, apa yang dihadam tidak diserap atau dicerna tapi bagi haiwan pemakan daun, apendiksnya besar untuk membolehkan penghadaman selulosa terbabit.

Saiz apendiks juga tidak melambangkan usia. Ada kanak-kanak yang memiliki saiz apendiks lebih besar daripada orang dewasa. Apendiks secara asasnya tidak menjadi sebarang masalah selagi ia tidak menjejaskan kesihatan seperti mengalami keradangan.

Tambah Dr Muhd Daniel, hingga kini punca kerada­ngan apendiks itu masih belum dapat dipastikan.

“Tiada kategori usia khusus bagi penghidap radang apendiks kerana sesiapa saja boleh mengalaminya, seawal usia enam bulan hinggalah dewasa. Ia juga bukan penyakit yang diwarisi walaupun ada beberapa kes membabitkan sesama ahli keluarga.

“Malah mereka yang menjalani hidup sihat seperti atlet juga mengalami keradangan apendiks hingga perlu menjalani pembedahan.

“Kerap kali punca apendisitis adalah masalah jangkitan seperti jangkitan virus daripada saluran gastro usus. Selain itu, ia boleh juga berlaku kerana sisa makanan atau serpihan najis yang banyak terperangkap dalam ruang apendiks.

“Apapun, kedua-dua keadaan ini menyebab­kan bakteria menghuni apendiks dan menjadikannya radang hingga bernanah. Tanpa rawatan segera, apendiks berisiko pecah dan boleh mengancam nyawa,” katanya.

RADANG

Apendiks normal berwarna merah jambu namun apabila bahagian ini tersumbat, ia mengakibatkan berlakunya radang lalu bertukar kemerah-merahan dan bengkak mula kelihatan.

Individu yang mengalami radang apendiks ini akan mula mengalami sakit perut tidak ketara di sekeliling pusat.

Tetapi sejurus berlarutan, ia akan berpindah ke bahagian kanan dan bawah pusat serta kesakitan dialami lebih ketara.

Penghijrahan lokasi kesakitan ini bergantung kepada individu kerana ia boleh berlaku dalam masa setengah hari saja atau lebih beberapa hari. Malah mereka juga akan mengalami muntah dan demam yang tidak keterlaluan.

Bagaimanapun, ada beberapa kes pesakit langsung tidak berasa sakit di perut pada peringkat awal sehinggalah di saat akhir dan sebahagian­nya pula berasa sakit apabila apendiks itu hampir pecah.

“Apabila sakit perut, ramai yang menganggap ia disebabkan gastrik atau keracunan makanan. Dalam kebanyakan diagnos awal juga tidak melihat kepada kemungkinan masalah keradangan apendiks ini berikutan pesakit hanya mengadu sakit perut.

“Tapi gastrik sama sekali berbeza kerana lokasi rasa sakit gastrik itu berlaku di bahagian atas pusat bukan di bawahnya,” jelasnya.

Mereka yang mengalami masalah sembelit bagaimanapun berisiko tinggi menghidap radang apendiks.

Kedudukan usus buntu yang berdekatan usus besar menyebabkan najis di bahagian usus besar kadangkala menyumbat laluan dan menyebabkan cecair di dalamnya tidak boleh keluar.

“Usus kita ini sebenarnya mempunyai sistem sterilisasi tersendiri. Jadi apabila wujudnya bakteria dan kuman daripada makanan kita, ia akan dibawa terus ke bahagian bawah usus sehinggalah ke usus buntu iaitu saluran apendiks.

“Semua bakteria dan kuman yang tersumbat itu menyebabkan organ berkenaan mengalami jangkitan kuman dan berlakunya radang.

“Dan apabila radang apendiks ini pecah, ia akan menyebabkan bakteria serta kuman yang terkumpul di dalamnya merebak ke bahagian perut hingga mengakibatkan radang di dalam abdomen.

“Penularan kuman dan bakteria ini pula kemudiannya boleh tersebar ke seluruh badan yang dikenali sebagai sepsis. Jika sepsis dibiarkan tanpa rawatan susulan, sama ada antibiotik ataupun pembedahan, ia boleh membawa maut,” katanya.

BEDAH

Rawatan tunggal yang boleh dilakukan untuk menangani masalah radang apendiks ini hanyalah melalui pembedahan.

Cara ini bertujuan mengeluarkan apendiks yang menjadi punca masalah dalam badan serta mengelakkan kesakitan

berpanjangan pada masa depan.

Pembedahan biasa hanya mengambil masa 20 minit hingga satu jam, bergantung kepada keadaan pesakit manakala pemberian antibiotik diberi bagi mengawal jangkitan.

Individu yang mengalami sakit perut berlanjutan perlu mendapatkan

pemeriksaan awal bagi mengenal pasti masalah sama ada disebabkan gastrik ataupun apendiks.

Selain itu, mereka yang mengalami masalah cirit-birit berlanjutan juga perlu mendapatkan pemeriksaan doktor kerana tidak semua gejala disebabkan keracunan makanan dan mungkin berpunca daripada radang apendiks pecah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 2:49 PM