HUSNI di Sesi Rangkaian bersama Syarikat  Teras.
HUSNI di Sesi Rangkaian bersama Syarikat Teras.

Kuala Lumpur: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyasarkan pengagihan dana sebanyak RM1.5 bilion kepada Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) bagi membantu syarikat Bumiputera yang berpotensi di bawah naungannya tahun ini.

Penyaluran dana itu ditumpukan kepada lapan sektor sasaran berpotensi yang antaranya membabitkan perladangan, perkhidmatan perniagaan, komunikasi, perkhidmatan kewangan serta minyak dan gas .

Ketua Eksekutifnya, Datuk Husni Salleh berkata, sehingga kini sebanyak RM2.24 bilion Dana Teras telah disediakan untuk syarikat TeraS dan sejumlah 218 permohonan pembiayaan bernilai RM910.63 juta telah diluluskan.

Sehingga kini terdapat 914 syarikat yang bernaung di bawah program berkenaan.

“Sepanjang empat tahun pelancaran dana tersebut, kami menyasarkan untuk membantu 1,100 syarikat dalam mengembangkan perniagaan di peringkat serantau dan kini TERAJU mempunyai 914 syarikat Bumiputera di bawah program Teras.

“Kami juga telah mengenalpasti hampir 40 syarikat Bumiputera yang bakal disenaraikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun dari sekarang,” katanya ketika Sesi Rangkaian Bersama Syarikat-syarikat Teras di sini, semalam.

Beliau berkata, melalui fasiliti sedia ada dan kerjasama pihak bank, sasaran pengagihan tersebut yakin mampu dicapai.

Setakat ini, kira-kira 50 peratus daripada peruntukan berkenaan sudah diluluskan dan TERAJU sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah kelulusan kepada syarikat yang layak.

Maybank Islamic dan SME bank pula sedang giat mempromosikan program dana ini dalam usaha membantu usahawan tempatan melebarkan sayap ke tahap yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:15 AM