NAJIB  menyerahkan buku Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sambil disaksikan  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Husni (kanan).
NAJIB menyerahkan buku Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Husni (kanan).
Siti Fatimah Hassan dan Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) 1.0 yang dilaksanakan sejak enam tahun lalu berjaya melahirkan usahawan Bumiputera yang lebih berdaya saing serta berpeluang menembusi pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Datuk Husni Salleh berkata, kejayaan program pemerkasaan Bumiputera itu terbukti apabila setakat Mac 2017, sejumlah RM108 bilion berjaya dijana melalui semua inisiatif yang dijalankan.

Beliau berkata, jumlah itu disumbangkan dari peluang perniagaan, pendanaan, pembangunan modal insan, pelaburan swasta dan penghasilan nilai perniagaan.

“Sepanjang ia dijalankan sejak Julai 2011, kita melihat pembabitan 3,033 syarikat dan 53,256 usahawan yang mendapat manfaat terus selain menghasilkan peluang pekerjaan kepada masyarakat Bumiputera.

“Malah, modal pasaran terkawal Bumiputera turut merekodkan pertumbuhan sekitar RM70 bilion dan ia dilihat berkembang kepada RM277 bilion antara 2011 dan 2014 yang didorong oleh BETR 1.0,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR 2.0) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, di sini, semalam.

Menerusi BETR 1.0, program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) membabitkan 1,014 syarikat dan menerima sokongan dalam bentuk pembinaan kapasiti dan sokongan pembiayaan.

Menurut Husni, di bawah program TERAS, kerajaan telah mewujudkan Dana TERAS bercagarkan RM332 juta di mana ia berjaya menarik penyertaan lima institusi perbankan yang menggandakan kemudahan pembiayaan kepada RM3.14 bilion.

“Setakat Mac tahun ini, sebanyak 306 syarikat TERAS menerima kelulusan pembiayaan bagi pembelian aset dan modal kerja bernilai kira-kira RM1.3 bilion.

“Selain itu, BETR 1.0 juga mewujudkan Dana Mudahcara sebagai insentif bagi menggalakkan pelaburan swasta Bumiputera dan sebanyak 469 projek telah mendapat kelulusan pembiayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 5:53 AM