REGUIGUI (kanan) meraikan kejayaan apabila tiba di garisan penamat.
REGUIGUI (kanan) meraikan kejayaan apabila tiba di garisan penamat.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Bukit Fraser: Pelumba MTN Qhubeka Youcef Reguigui melakar kejutan apabila memenangi peringkat pendakian ke Bukit Fraser, sekali gus merampas jersi kuning dan berada dalam landasan tepat menjuarai kategori individu edisi ke-20 Le Tour de Langkawi (LTdL).

Pelumba berusia 25 tahun itu mencatat 4 jam 38 minit 41 saat untuk mengatasi cabaran sengit pelumba pilihan dari Team Sky Sebastian Henao yang terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua.

“Saya tidak menyangka dapat memenangi peringkat paling sukar ini. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang bekerja keras membantu saya,” katanya selepas menamatkan perlumbaan sejauh 180.8 kilometer itu.

Menurut pelumba dari Algeria itu, ketika saingan berbaki lima kilometer, rakan sepasukannya Natnael Berhane yang menduduki tempat kedua dalam kategori perebutan jersi kuning sudah tidak berdaya mengikut kayuhan kelompok depan.

“Ia menyebabkan saya menukar strategi untuk melangkah ke depan. Berbaki 300 meter, saya meningkatkan kelajuan kayuhan dan akhirnya muncul pelumba terpantas.

“Saya memang tidak menjangka untuk menang kerana laluan pada tahun lalu adalah berbeza (Genting Highlands). Ia sukar kerana hanya melihat kepada peta perlumbaan,” katanya.

Bagaimanapun, kejayaan Reguigui tidak menggugat jersi Raja Bukit yang kini sah dimenangi Kiel Reijnen dari United HealthCare dengan 39 mata.

Reguigui dan Reijnen bagaimanapun perlu menamatkan perlumbaan peringkat terakhir esok di Kuala Lumpur bagi mengesahkan kejuaraan.

Penonton bagaimanapun bakal menyaksikan saingan sengit peringkat ketujuh hari ini membabitkan Reguigui dan pelumba Orica GreenEdge Caleb Ewan apabila kedua-duanya hanya dibezakan 12 mata.

Ewan yang juga pendahulu jersi kuning sebelum ini sekadar menamatkan saingan di kelompok terakhir di Bukit Fraser semalam.

Jersi putih untuk pelumba terbaik Asia turut bertukar tangan apabila Tomohiro Hayakawa dari Aisan Racing Team mengatasi Zhang Wen Long (Giant-Champion System).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:05 AM