Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan dua undang-undang baru iaitu Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan Pengganas (Foreign Fighter Act-FFA) akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat sebagai langkah pencegahan terhadap keganasan.

Beliau berkata, selain itu lima undang-undang sedia ada akan dipinda bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, jemaah menteri sudah meluluskan ketujuh-tujuh undang-undang berkenaan dibawa ke Dewan Rakyat yang sedang bersidang ketika ini.

"POTA diwujudkan untuk menangani ancaman keganasan dalam negara manakala Akta Pencegahan Pengganas (Foreign Fighter Act) mencegah pengganas dari luar negara yang mahu masuk ke negara kita.

"Ini kerana ada antara pengganas ini menjadikan Malaysia sebagai tapak untuk bergerak ke negara ketiga iaitu negara yang menjadi tumpuan pengganas," katanya ditemui selepas merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 12:39 PM