Kuala Lumpur: Jelitawan yang pernah dinobatkan sebagai Miss Malaysia akan berganding bahu untuk menjayakan usaha mengumpul RM100,000 melalui pertunjukan amal bagi membantu 10 rumah kebakijan, 3 April ini.

Lebih 20 bekas pemenang gelaran Miss Malaysia dari 1990 hingga 2014 itu akan mencurah bakti membantu anggota masyarakat kurang bernasib dengan menjayakan acara dikenali sebagai Malam Amal Miss Malaysia Musical and Variety Show - ‘Because We Care’.

“Untuk julung kalinya, bekas Miss Malaysia ini akan berpadu tenaga untuk mengadakan persembahan pentas sebagai sumbangan kepada masyarakat yang amat bermakna iaitu membantu mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan rumah kebajikan dan usaha murni mereka,” kata pengerusi jawatankuasa penganjur acara itu, Tan Sri Danny Ooi.

Rumah kebajikan yang akan mendapat manfaat daripada program amal itu ialah rumah anak yatim dan rumah orang-orang tua seperti Rumah Kebajikan Anak Yatim Alkhairiyah, House of Joy, Rumah Victory, Kajang Caring Home dan Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas.

Jelitawan berkenaan dijadual mengunjungi rumah kebajikan terpilih hujung minggu ini untuk memberi semagat dan menceriakan penghuninya, yang terdiri daripada golongan kurang bernasib baik. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 10:07 PM