Kuala Lumpur: AirAsia X menafikan laporan media bahawa pesawat XAX223 melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Melbourne, sebaliknya cuma satu lencongan berjaga-jaga.

Dalam satu kenyataan, AirAsia X berkata, pesawat itu memang menghadapi masalah teknikal.

"Lencongan itu dilakukan mengikut garis panduan keselamatan penerbangan antarabangsa.

"Sekali lagi pihak kami menegaskan bahawa, tiada pendaratan cemas dilakukan oleh pesawat itu," kata jurucakap Airasia X.

Tambah kenyataan itu, pesawat itu sudah berlepas pada 5.13 petang waktu Melbourne dan dijangka sampai di Kuala Lumpur pada 10.21 malam waktu Malaysia.

Sebelum itu, agensi berita Australian Broadcasting Corporation melaporkan bahawa pesawat itu melakukan pendaratan cemas di Melbourne selepas bertolak dari Sydney.

Agensi itu memetik jurucakap Perkhidmatan Udara Australia yang menyebut bahawa sistem navigasi dan paparan peta didalam pesawat itu gagal berfungsi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 6:48 PM