Nigeria Airlines.
Nigeria Airlines.
Bernama-Anadolu

Abuja: Sebuah pesawat komersial di Nigeria dengan lebih 100 penumpang di dalamnya mendarat di lapangan terbang yang salah pada hujung minggu lalu.

Penerbangan United Nigeria Airlines, yang berlepas pada Ahad dari hab komersial Nigeria di Lagos dan menuju ke Abuja, ibu negara negara itu, tiba-tiba melencong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Asaba, lapor Anadolu.

"Selamat datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe di Abuja," kru kabin mengumumkan, tetapi pesawat itu sebenarnya telah mendarat di Asaba, sebuah bandar di tebing barat Sungai Niger kira-kira 329 kilometer dari Abuja.

Penumpang berkata mereka hanya menyedari mereka berada di Asaba dan bukannya Abuja selepas mereka turun dari pesawat.

Syarikat penerbangan itu bagaimanapun mengaitkan kesilapan itu berpunca daripada cuaca buruk.

Jurucakap syarikat penerbangan itu, Achilleus-Chud Uchegbu, memberitahu pemberita bahawa juruterbang itu mengalihkan pesawat ke Asaba selepas menerima maklumat mengenai "cuaca destinasi yang buruk."

"Kru kabin membuat pengumuman yang salah semasa mendarat dengan selamat di Asaba dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penumpang," katanya.

Lencongan kapal terbang jarang berlaku di Nigeria. Insiden itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan penerbangan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 6:14 PM