BEEF Pepperoni begitu menyelerakan.
BEEF Pepperoni begitu menyelerakan.
PIZZA Cottage Special mempunyai kepedasan sesuai untuk peminat tempatan.
PIZZA Cottage Special mempunyai kepedasan sesuai untuk peminat tempatan.
NISHA dan Abdulla melayan Maryam menikmati hidangan piza .
NISHA dan Abdulla melayan Maryam menikmati hidangan piza .
Nurul Husna Mahmud


Tema ‘fusion’ dalam konsep restoran mahupun makanan Pizza Cottage bakal menjadi fenomena buat peminat hidangan Amerika Selatan seperti piza mahupun tortilla.

Apakan tidak, pengusaha restoran berkenaan yang juga suami isteri, Abdulla Malik dan Ahamathunisha Beevi bijak mengolah resipi menerusi pengunaan rempah ratus India dalam hidangan tipikal Itali berkenaan.

Biarpun konsep hidangan seolah-olah menu sudah biasa ditemui di restoran segera popular di tanah air, namun rasa ditampilkan dalam setiap menu berkenaan cukup segar serta asli.

Menurut Abdulla, pengalaman berkhidmat dengan francais makanan segera selama 12 tahun membuatkan dia arif mengenai penyediaan menu terbabit.

Lebih istimewa pe­ngunjung Pizza Cottage bukan saja dapat menikmati pilihan piza enak, ayam goreng sehinggalah kepada menu nasi turut disediakan di situ.

“Cawangan pertama kami ialah di Kolej Taylor Sunway sejak November 2013. Konsep kami perkenalkan ialah makanan segera tetapi dalam kualiti hotel mahupun restoran. Segala kami sediakan segar dari dapur. Contohnya untuk roti kami sediakan segar dan tiada konsep sejuk beku kerana kami mahukan ia panas apabila tiba di meja tetamu.

“Selain itu rasa untuk semua 50 pilihan menu kami sediakan berbeza daripada restoran segera. Jadi kami bawakan rempah diimport khas dari India bagi menyuntik cita rasa tempatan,” katanya.

Sementara itu isterinya, Ahamathunisha mesra dipanggil Nisha berkata, konsep restoran keluarga mahupun bermesra bersama kenalan membuatkan dekorasi santai namun ringkas.

“Kami menggunakan tema warna lebih ringkas dan pastel hijau lembut di samping penggunaan meja mempunyai paparan ira kayu kerana mahu menyuntik elemen kedesaan serta dekat dengan hidangan di rumah,” katanya.

Roti lembut, ‘topping’ meriah

Pemenang tempat ketiga dalam pencarian bakat Nona Manis Siti Maryam Hussin teruja dengan pilihan menu terdapat di Pizza Cottage. Malah setiap hidangan dinikmati nyata sesuai dengan seleranya.

Katanya, meskipun sudah biasa dengan hidangan piza, kualiti piza di Pizza Cottage terutama roti kekal lembut selain ‘topping’ cukup meriah bersama garapan keju membanjiri segenap roti.

“Bukan hendak melobi tetapi saya rasa piza di sini rasanya memang sedap. Ramuan bahagian atas roti serta padanan kuah dan keju cukup lengkap. Malah apabila sudah sejuk rotinya masih lembut. Kualiti piza seperti ini susah hendak dicari,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini, Siti Maryam gembira perjalanan dalam bidang pengacaraan masih rancak sebaik tamat belajar dalam Jurusan Penyiaran Universiti Teknologi Mara Shah Alam (UiTM) pada Disember lalu.

“Saya kini sudah berhijab dan mereka mengenali saya menerusi rancangan Nona Manis dapat menerima dengan imej baru saya ini. Malah rezeki dalam bidang pengacaraan boleh saya kata tidak putus.

“Saya sering dipanggil untuk mengacara Anugerah Skrin dan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Meskipun pada mulanya kurang yakin penerimaan orang mengenai pengacara mempunyai susuk tubuh berisi, masyarakat kini terbuka dan memandang kepada personaliti.

“Saya bakal memeriahkan Jom Heboh Kuantan Pahang pada 30 April hingga 1 Mei nanti. Selain sibuk dengan rangkaian produk tudung bawah jenama Hijab by Maryam Hussin, mereka boleh ikut perkembangan produk ini menerusi Instagram @maryamhussin_official,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:01 AM