Mayat mangsa dibawa ke hospital. Peralatan digunakan untuk mengecas bateri motosikal (kiri). FOTO Danial Noordin
Mayat mangsa dibawa ke hospital. Peralatan digunakan untuk mengecas bateri motosikal (kiri). FOTO Danial Noordin
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik di rumahnya di Taman Putri, Pokok Sena, Alor Setar,petang tadi.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa, Mohd Azmar Tahkim Asri dipercayai cuba mengecas bateri motosikal milik abangnya sebelum berlaku litar pintas.

Difahamkan, ibu mangsa berusia 40-an dan abangnya, 18, hanya menyedari kejadian selepas terdengar jeritan kanak-kanak itu lalu pergi memeriksa apa yang berlaku.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Rohana Omar mengesahkan kejadian, berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:49 PM