Riyadh: Polis Arab Saudi semalam menangkap seorang lelaki warga India sebelum dia meninggalkan negara itu dengan pesawat atas tuduhan menghina Islam.

Lelaki itu yang namanya tidak didedahkan dikatakan menyiarkan gambar mencemarkan Masjidilharam dalam laman Facebooknya.

Menurut laporan akhbar Okaz, dia menukar gambar masjid paling suci umat Islam itu dengan kuil Hindu.

Akhbar berkenaan memetik sumber polis sebagai berkata, suspek memberitahu pendakwa raya, dia hanya menyalin gambar itu daripada majalah asing.

Lelaki itu ditahan di Lapangan Terbang Jeddah selepas seorang lelaki membuat laporan polis mengenai gambar itu,

Dia didakwa dengan tuduhan menghina Islam dan berdepan dengan hukuman penjara lima tahun atau denda SR3 juta (RM2.6 juta).

“Suspek melakukan kesalahan besar yang memerlukan hukuman berat,” lapor akhbar itu, memetik kenyataan seorang bekas pendakwa, Saad Al Malki. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:49 AM