Sebahagian pembantu kedai wanita warga asing yang ditahan, kelmarin.
Sebahagian pembantu kedai wanita warga asing yang ditahan, kelmarin.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Bagi mengelak dicekup beberapa wanita warga asing yang bekerja secara haram di gerai di Medan Selera Jalan Sungai Pinang di sini, berlagak seperti pelanggan untuk mengelirukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen ketika pemeriksaan dijalankan.

Namun, taktik lapuk itu gagal apabila raut wajah mereka berubah menjadi pucat lesi dan berpeluh ketika dihampiri pegawai anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen dalam Op Bersepadu bermula jam 10 malam kelmarin.

Ketika diperiksa ada antara wanita berkenaan gagal menunjukkan dokumen perjalanan atau pas pekerjaan yang sah, sekali gus melanggar syarat dan peraturan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri P Selva berkata, semasa pemeriksaan dilakukan didapati ada segelintir pendatang tanpa izin cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai imigresen masuk ke dalam kawasan medan selera itu.

“Kami memeriksa 76 lelaki dan wanita warga asing dan selepas semakan dijalankan 49 individu iaitu 39 lelaki dan 10 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Individu yang ditahan membabitkan warga negara Nepal, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, Indonesia dan Kemboja, semua mereka kemudian dihantar ke Depoh Tahanan Sementara, Juru untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 7:23 AM