Antara penyanyi British dapat perhatian luar biasa peminat seluruh dunia.
Antara penyanyi British dapat perhatian luar biasa peminat seluruh dunia.
Susunan Georgie Joseph


Suatu ketika dulu, dia cumalah penyanyi jalanan yang seperti orang lain juga mempunyai cita-cita besar. Semangat juangnya tidak pernah padam, bahkan semakin membara.

Percubaannya menjual muzik ke syarikat rakaman turut mendapat tindak balas sinis dan Ed Sheeran atau nama penuhnya Edward Christopher Sheeran, 23, dikatakan tidak memiliki paras rupa menarik untuk dipasarkan.

Sekarang label yang pernah menolaknya dulu pasti berputih mata apabila Ed membuktikan dengan bakatnya dia kini berjaya menjadi penyanyi kegilaan di seluruh dunia. Hakikatnya, dia antara penyanyi British yang benar-benar mendapat sambutan luar biasa selain rakan senegaranya, Sam Smith.

Memperjuangkan muzik pop, R&B, folk dan akustik, kemunculannya awal dulu menerusi lagu popular Lego House nyata terus meledakkan namanya. Unik dan muzik yang berkualiti, kemunculan Ed bukan sementara saja, malah terus membina kukuh jenamanya.

Popular menerusi lagu seperti The A Team dan Sing, dia juga menyumbangkan lagu untuk filem sekuel terkenal The Hobbit: The Desolation of Smaug menerusi I See Fire. Terbaru, melodi lagu Don't pula kian menjadi siulan ramai serta mendapat putaran tinggi di radio.

Kolaborasi yang pernah dijayakannya setakat ini juga bukan dengan calang-calang artis. Lagu Everything Has Changed nyanyiannya dengan Taylor Swift nyata menjadi dan karya itu sebenarnya adalah ciptaannya.

Tentu sekali masih berbekas kekecewaannya dengan pihak yang pernah menolak, malah memandangnya sinis sebelum ini. Namun, segalanya terubat apabila dia kini berada dalam kelompok selebriti tersohor bersama ramai penyanyi hebat lain.

Antaranya, anggota The Beatles iaitu Paul McCartney yang cukup mengejutkannya kerana artis itu tidak mesra dan tidak sombong langsung dengannya sebagai pendatang baru.

"Ia amat mengejutkan saya sewaktu bertemu Paul yang mempunyai sikap menyenangkan. Hakikatnya kebanyakan orang industri yang saya jumpa baik selebriti mahupun pemuzik melayan saya dengan baik.

"Pada satu acara Paul datang kepada saya dan bertanya sekiranya cucunya boleh bergambar dengan saya. Kebetulan saya bersama ayah ketika itu dan mereka terus berborak," katanya.

Cukup rapat dengan penyanyi kegilaan masa kini Taylor Swift, tidak dinafikan penyanyi itu juga banyak membantunya melebarkan sayap. Taylor sendiri memberikan penghormatan kepada Ed menjadi artis jemputan untuk siri jelajahnya.

Bagaimanapun, pada masa sama dia seakan-akan dibayangi nama Taylor Swift. Menjelaskan perkara itu, katanya dia tiada masalah dengan tanggapan sedemikian bahkan sangat berbesar hati menjadi sahabat baik kepada penyanyi Amerika Syarikat itu.

"Kami rapat dan sangat seronok menulis lagu bersamanya. Kenangan paling indah apabila saya mendapat teks mesej daripadanya untuk membawa saya ke siri jelajahnya.

"Taylor seorang pemuzik yang sangat luar biasa dan saya tumpang gembira apabila dia sendiri berjaya menakluk banyak tempat di Amerika Syarikat," kata­nya.

Ed dijadual mengadakan konsert sulungnya di Malaysia, Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:00 AM