Oleh Junaidi Ladjana


Kudat: Seorang lelaki maut manakala lapan cedera termasuk dua perempuan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Perapat, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.40 malam itu, mangsa maut berusia 20-an dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lapan yang cedera dikejarkan ke Hospital Kudat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendi K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.45 malam dan tiba di lokasi kejadian 29 minit kemudian.

"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Kancil, Viva dan Honda CRV.

"Akibat kemalangan itu, seorang lelaki maut manakala lapan mangsa cedera termasuk dua perempuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sementara yang cedera dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 2:08 AM