Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Cekak rambut lazimnya digunakan sebagai perhiasan di kepala mahu pun untuk membuatkan rambut kelihatan lebih kemas bagi mereka yang tidak mengenakan tudung.

Bagaimanapun, tidak salah jika wanita bertudung juga menggayakan cekak rambut sebagai aksesori kerana mampu mengubah rupa asal tudung yang dipakai.

Mungkin tudung yang polos pada asalnya dan nampak tidak menarik boleh berubah menjadi eksklusif dengan pemakaian cekak sebagai aksesori di kepala.

Kini, banyak aksesori yang menjadikan tudung nampak lebih bergaya antaranya kerongsang, manik, cekak rambut, batu permata dan kristal.

Tentu saja tudung bertatah kristal, manik atau batu permata dijual dengan harga yang mahal malah sehingga beratus-ratus ringgit, namun jika wanita bijak bergaya, mereka boleh membeli aksesori berasingan dan boleh menggayakan dengan tudung berlainan pada bila-bila masa.

Ia pasti menjimatkan wang dan mereka boleh menyuai padan tudung dan aksesori pula tanpa mengeluarkan belanja besar.

Tambahan pula pemakaian aksesori ini biasanya mengikut kreativiti si pemakai dan pastinya ia nampak eksklusif kerana hanya mereka yang memakainya mengikut cita rasa tersendiri.

Selain itu, perhiasan yang digunakan itu juga boleh ditanggalkan pada bila-bila masa dan tudung itu pula boleh dipakai semula untuk acara lain seperti ke tempat kerja, bersiar-siar atau bersantai.

Seiring perkembangan itu, butik online FHmixstar menawarkan pelbagai pilihan aksesori termasuk cekak rambut untuk digayakan bersama tudung atau selendang.

Menurut pemiliknya, Noor Hayani Yusuf, pemakaian aksesori cekak rambut buat wanita bertudung sesuai digayakan untuk menghadiri majlis keraian sebagai pelengkap gaya.

Dengan pilihan warna dan corak yang sesuai pastinya menambah keserian pemakai lebih-lebih lagi jika menggayakan tudung polos ke majlis eksklusif.

"Sebenarnya orang yang kreatif boleh mempelbagaikan cara pemakaian tudung. Kini penggunaan cekak mula mendapat perhatian wanita sebagai hiasan tudung selain kerongsang.

"Apa pun sesuaikan tudung itu dengan majlis atau acara yang hendak dihadiri supaya anda nampak glamor dan menepati tema majlis yang dihadiri.

"Jika bijak menggayakannya, wanita bertudung juga boleh kelihatan menawan. Cukup dengan hiasan yang ringkas pastinya mengubah rupa pemakai," katanya.

Koleksi aksesori untuk hijabista oleh butik ini boleh didapati melalui facebook FHmixstarboutique.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:24 AM