PELBAGAI gaya lipatan boleh dilakukan dengan mengambil inspirasi gaya tudung Turki.
PELBAGAI gaya lipatan boleh dilakukan dengan mengambil inspirasi gaya tudung Turki.
Hafiz Ithnin

Gaya pemakaian tudung nampaknya sering berubah mengikut arus fesyen dan cita rasa si pemakai. Tidak dinafikan gaya pemakaian tudung dari luar negara juga menjadi inspirasi wanita hari ini untuk menjadikannya lebih menarik dengan padanan busana peribadi.

Kini gaya tudung tidak lagi mempunyai batas sama ada untuk acara perkahwinan semata-mata kerana ia boleh dipakai mengikut cita rasa sama ada secara kasual mahu pun ke pejabat.

Misalnya, gaya tudung Turki kini menjadi trend dalam kalangan wanita di Malaysia. Ramai selebriti yang mengayakannya dan menjadi ikutan ramai wanita untuk menikmati aura kecantikan yang sama.

Jurugaya Tudung, Siti Maryam Anuar berkata, tidak dinafikan pemakaian tudung gaya wanita Turki semakin mendapat perhatian dalam kalangan ratu sehari yang melihat ia sebagai sesuatu yang cantik untuk dipadankan dengan pakaian pada majlis perkahwinan mereka.

"Tidak sekadar itu, tudung gaya Turki juga sebenarnya mudah untuk digayakan dengan memilih fabrik tudung organza, lace dan kapas. Namun, sebenarnya pemilihan jenis kain tidak mempunyai had tertentu selagi ia boleh membuat lipatan di atas kepala yang menjadi gaya utama dalam gaya tudung Turki.

"Dari segi saiz tudung pula disarankan melebihi dari dua meter kerana lipatan di atas kepala akan menjadikan saiz tudung lebih kecil. Bagi mereka yang ingin memastikan tudung benar-benar berada di dalam pakaian tanpa rasa singkat, pastikan saiz tudung adalah besar melebihi dua meter," katanya.

Jelasnya, bagi ratu sehari yang memakai gaun pengantin, gaya kemasan lipatan di kepala sangat penting bagi menonjolkan lagi kecantikan dan menaikkan seri wanita yang berhijab.

Katanya, pelbagai teknik variasi lipatan di kepala seperti contoh lipatan bersilang, lipatan secara bersusun, lipatan secara beralun disesuaikan dengan kehendak si empunyai diri.

"Pemakaian aksesori seperti juraian manik, mutiara dan batu berkilau melengkapkan gaya pemakaian. Selain itu, mahkota juga boleh diletakkan di atas tudung berkenaan dengan cara yang betul supaya tidak menutupi lipatan tudung atas kepala yang sudah dirapikan.

"Lebih menarik sekiranya, pakaian yang disarungkan itu mempunyai kolar baju yang lebih tinggi seperti leher cekak musang atau gaya leher cheongsam. Perkara ini bagi memastikan lebihan tudung boleh dililit menutupi leher dengan lebih kemas," katanya.

SITI Maryam (kiri) bersama model yang ingin menggayakan tudung gaya Turki.
SITI Maryam (kiri) bersama model yang ingin menggayakan tudung gaya Turki.

Jelasnya, bagi wanita yang memiliki bentuk muka bulat tidak halangan untuk mendapatkan gaya tudung Turki dengan mengenakan 'awning' berbentuk bawal terlebih dahulu dan tidak melekat di dahi si pemakai agar bentuk muka menjadi sedikit lonjong.

"Selain boleh mengenakan lipatan secara menyilang di atas kepala. Bagi pemakai yang mempunyai bentuk muka lonjong, semua variasi gaya adalah sangat sesuai dan bergantung kepada cita rasa pemakai itu sendiri. Lipatan di kepala juga perlu sesuai dengan pemilihan pakaian pemakai masing-masing.

"Jika pemakai mengenakan gaun kembang untuk perkahwinan, pemilihan gaya lipatan ini sangat sesuai dan menaikkan seri pemakai itu sendiri. Manakala bagi gaya korporat, seperti contoh, pemakaian blazer, gaya ini perlu lah ringkas dan teknik lipatan di kepala juga tidak perlu berlebihan tanpa menggunakan perhiasan kepala lain," katanya.

Jelasnya, dari segi pemilihan rona fabrik, bagi mereka yang berusia elakkan warna yang terang kerana ia lebih sesuai untuk golongan remaja. Warna yang sesuai untuk wanita berusia adalah lebih kepada pemilihan warna pastel.

"Penggunaan warna pastel membuatkan penampilan pemakai lebih elegan dan sopan. Ditambahkan pula dengan pakai 'inner turtel neck' bagi menutup bahagian leher si pemakai akan kelihatan lebih menarik dan kemas.

"Jika baju bercorak, lilitan di kepala tidak terlalu sarat dan warna fabrik di kepala tidak perlu bercorak dan polos amat disarankan supaya ia tampak lebih sesuai untuk gaya keseluruhan busana," katanya.

Tambahnya, gaya Turki untuk turban pula, penggunaan dan pemilihan material amat penting kerana ia dapat memberikan kesan maksimum ketika pemakainya. Kebanyakan turban menggunakan kain kapas supaya lipatan senang dibentuk dan ia tidak leper, sejuk dan serap peluh.

"Bagi penggemar turban dan gaya lilitan serta lipatan di kepala, pastikan tidak menggunakan warna dan aksesori sarat serta lilitan dan lipatan terlalu banyak kerana ia membuatkan pemakaian turban tidak seimbang kerana boleh menjadikan penampilan kurang menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 7:01 AM