MUSTAPA (tengah)  bersama  Rudi  (kiri) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ll, Datuk Sri Ong Ka Chuan pada taklimat media Pelaburan X-FAB Group oleh MITI, semalam.
MUSTAPA (tengah) bersama Rudi (kiri) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ll, Datuk Sri Ong Ka Chuan pada taklimat media Pelaburan X-FAB Group oleh MITI, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin jumlah pelaburan yang diluluskan bagi sektor pembuatan akan terus mencatatkan peningkatan apabila nilai bagi sembilan bulan pertama ini sudah menyamai jumlah keseluruhan sektor itu pada 2014 yang merekodkan sejumlah RM71.9 bilion.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sektor pembuatan terus menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi terutama dalam menarik pelaburan asing ke negara ini.

“Selain pembuatan, pada tahun ini sektor elektrik dan elektronik serta pertanian juga mencatatkan pertumbuhan baik bagi enam bulan pertama ini.

“Bagaimanapun, jumlah pencapaian keseluruhan pelaburan bagi 2015 akan diumumkan tidak lama lagi, namun kami percaya ia akan kekal stabil dan mencatat prestasi lebih baik,” katanya pada sidang media pengumuman rancangan pengembangan X-FAB Group di sini, semalam.

X-FAB adalah syarikat pembuat wafer silikon terkemuka global dari Jerman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif X-FAB Group, Rudi De Winter berkata, pihaknya merancang melabur sebanyak RM500 juta sehingga 2017 bagi mengembangkan operasinya di negara ini.

Menurutnya, syarikat turut merancang mengembangkan keupayaan dan kapasiti operasinya di Kuching, Sarawak, X-FAB Sarawak Sdn Bhd bagi memenuhi peningkatan permintaan oleh pelanggannya di seluruh dunia.

“Pelaburan untuk pengembangan operasi ini termasuk perbelanjaan modal sebanyak RM125 juta bagi tahun ini dan dengan pelaburan ini, kami menjangkakan kapasiti pengeluaran wafer silikon akan meningkat daripada 24,000 unit kepada 27,000 unit sebulan.

“Kami turut menyasarkan peningkatan dalam jumlah pendapatan syarikat iaitu sebanyak AS$150 juta tahun ini dan seterusnya meningkat 20 peratus bagi 2016,” katanya.

Selain itu, Mustapa berkata, operasi X-FAB di Sarawak telah menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi tempatan dengan memberi pekerjaan kepada lebih 1,000 orang yang 80 peratus daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 9:48 AM