Nakhon Pathom: Pemburuan polis untuk menangkap perogol bersiri yang gemar menyerang wanita lanjut usia berterusan lagi selepas seorang suspek yang ditangkap sebelum ini terpaksa dibebaskan.

Media semalam melaporkan, polis melepaskan lelaki berusia 35 tahun itu apabila ujian DNA menunjukkan dia tidak berada di lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, lelaki terbabit adalah pekerja syarikat lebuh raya tempatan.

Katanya, lelaki itu ditangkap pada malam Selasa lalu di sebuah kilang ais krim di daerah Pimai.

“Dia mendakwa mengaku sebagai perogol bersiri kerana ketakutan ketika disoal siasat polis,” katanya.

Sebelum ini wilayah tengah Thailand gempar apabila seorang perogol bersiri mengganas dengan sesetengah mangsanya dilaporkan mati.

Hampir semua mangsa perogol berkenaan berusia sekurang-kurangnya 70 tahun.

Jurucakap polis berkata, setakat ini kira-kira 100 orang sudah ditahan untuk disoal siasat tetapi belum ada lagi bukti yang dapat mengaitkan suspek dengan serangan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:36 AM