Shah Alam: I-Berhad mencatatkan lonjakan pendapatan daripada segmen pembangunan hartanahnya sebanyak 71.6 peratus dan peningkatan 31.1 peratus pendapatan serta untung sebelum cukai masing-masing berakhir 31 Disember 2014.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, pencapaian itu didorong oleh peratusan lebih tinggi disumbang oleh projek i-Residence dan i-SOVO serta jualan bagi i-Residence, i-SOHO, i-Suites dan Liberty Tower.

Katanya, hasil kumpulan turut meningkat kepada RM261.11 juta berbanding RM152.15 juta dicatatkan pada 2013 manakala keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM69.44 juta daripada RM52.98 juta sebelumnya.

“Projek i-SOVO siap dan diserahkan kepada pembeli dalam tempoh suku kewangan berakhir 31 Disember 2014. Secara keseluruhannya, prestasi 2014 berada di landasan yang tepat seperti yang disasarkan.

“Kumpulan menyasarkan segmen pembangunan hartanah akan mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak RM500 juta menjelang 2018,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, sejajar dengan pertumbuhan ketara dalam segmen terbabit, nilai portfolio pelaburan hartanah kumpulan juga menyaksikan trajektori sebanyak RM1 bilion manakala segmen riadah menyumbang pendapatan stabil iaitu sebanyak RM100 juta.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang hasil utama kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 9:44 AM