KOPI ditumbuk.
KOPI ditumbuk.
BIJI kopi siap digoreng.
BIJI kopi siap digoreng.
MASAK karamel hingga likat.
MASAK karamel hingga likat.
CAMPURKAN kedua-duanya, kopi dan karamel.
CAMPURKAN kedua-duanya, kopi dan karamel.
Oleh Kusyi Hirdan

Peminat kopi panas, penulis selama ini menyangka bukanlah perkara sukar menghasilkan kopi asli. Dapatkan biji kopi, kisar halus, tambah air panas dan gula, siap untuk diminum. Mungkin ramai lagi peminat kopi yang berpendapat sama. Paling mudah, beli saja yang banyak di pasaran sekarang.

Namun, kata Nur Humairak Nordin, 24, pelajar tahun akhir Sarjana Pengurusan Fasiliti dan Penyenggaraan Universiti Malaya, keluarganya dari sebelah ayahnya memang sentiasa menikmati kopi yang dibuat sendiri. Bukan saja kepuasan membuatnya, tetapi juga kesedapan dan kesegarannya juga berbeza daripada kopi yang dibeli.

Setiap kali tetamu datang berkunjung ke rumahnya, ibu Humairak pasti menyajikan kopi kampung mereka sendiri.

“Emak orang Melaka berkahwin dengan ayah yang berasal dari Kedah. Keluarga ayah memang buat kopi sendiri dan sejak berkahwin, emak melihat keluarga mentuanya membuat kopi. Dari situ dia membantu proses membuatnya setiap kali balik ke Kedah. Lama-kelamaan, emak sendiri tahu buat kopi.”

Susahkah menghasilkan kopi? Mendengar cerita proses pembuatan kopi kampung tentu saja tidak sama dengan menyaksikannya sendiri. Justeru di suatu petang yang dirancang, keluarga Humairak sudi membenarkan penulis melihat proses pembuatannya, daripada penghasilan kopi yang sudah dijemur sehinggalah selesai.

Terus terang, setelah melihat prosesnya penulis rasa serik dan tak mungkin mahu membuatnya seperti keluarga ini. Namun bagi mereka, ia proses yang sudah menjadi kebiasaan dan menyeronokkan sebagai aktiviti keluarga.

Nur Humairak sebagai generasi muda, mula berjinak-jinak mendekati cara tradisional membuat kopi setelah membantu ibu bapanya. Menerusi jenama Kopi Kampung Humairak, anak kedua daripada tiga beradik ini seronok mengambil tugas daripada proses penyediaan awal dengan memetik kopi itu sendiri di pokoknya. Jiran Humairak kebetulan menjadi pembekal kopi kepada keluarga ini.

“Proses awal, jemur terlebih dulu selama kira-kira seminggu sehingga betul-betul kering. Kena pastikan ia betul-betul kering bagi mendapatkan lapisan isi yang paling dalam. Kemudian setelah kering, kopi ditumbuk untuk mengeluarkan isinya.

“Kemudian, kopi yang sudah kering ditumbuk untuk membuang kulit dan mendapatkan isinya saja.

“Selesai proses terbabit, biji kopi digoreng tanpa minyak sampai masak kehitaman. Proses ini juga mengambil masa sehingga dua jam dan perlu dijaga supaya tidak rentung. Paling penting, bahagian dalamnya juga mesti masak dan hitam. Ini diikuti pula dengan fasa kedua iaitu menyediakan karamel.

“Gula hangus ini perlu dicampur bersama kopi untuk mengurangkan pahitnya. Sedikit majerin dicampurkan bagi melemakkan kopi. Setelah adunan likat, campurkan kopi yang sudah digoreng tadi dan sebatikan.

“Fasa ketiga pula memasukkan campuran kopi dan karamel ke dalam talam dan ratakan nipis supaya senang ditumbuk. Namun tunggu hingga sejuk,” katanya.

Inilah peringkat terakhir penghasilan kopi. Dalam keadaan sekarang, ia boleh dihancurkan kecil-kecil dengan pisau dan disimpan di dalam bekas. Atau boleh terus dikisar untuk dijadikan kopi dan sedia diminum.

Kopi Kampung Humairak memang sedap dinikmati panas apatah lagi dicicah biskut.

“Bagi yang berpengalaman, hasil kopi itu sendiri boleh dikesan sama ada ia hasilan yang elok atau sebaliknya. Kopi yang terapung mungkin petanda ia terlebih goreng dan rentung. Bermakna proses menggoreng juga perlu berhati-hati dan dijaga teliti,” katanya.

Kopi Kampung Humairak boleh didapati melalui laman sosialnya - Nur Humairak Nordin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 1:05 PM