PESERTA ceria menunjukkan hasil kopi.
PESERTA ceria menunjukkan hasil kopi.
Nurul Husna Mahmud


Bau kopi semerbak memenuhi pusat latihan Barista Guild Asia di Ara Damansara, lokasi program Bengkel Barista Muda baru-baru ini.

Program sehari menyaksikan 10 penyertaan membabitkan remaja seawal usia 14 tahun sehingga 17 tahun dengan lebih enam jenis minuman disediakan.

Mereka tidak saja belajar bancuhan kopi tetapi turut menyentuh sudut artistik dalam penyediaan setaraf barista.

Belajar dari asas

Meskipun kedengaran bengkel itu menjangkau skil amatur, pendekatan tenaga pengajar membolehkan remaja memahami kaedah bancuhan kopi yang betul.

Pengurus Operasi Afiq Ammar Khan, berkata peserta yang menyertai kelas itu tiada asas penyediaan kopi namun minat terhadap minuman berkenaan.

“Mereka ini novis atau tiada pengalaman langsung dalam penyediaan kopi. Justeru ketika teori kita beri pengenalan mengenai jenis kopi dan peralatan termasuklah mesin pengisar espresso.

“Peringkat amali pula kita akan ajar pengendalian mesin espresso untuk mendapatkan ekstrak tepat, buih dan tekstur untuk jenis minuman kafe.

“Keseronokannya mereka akan berasa puas hati apabila dapat belajar teknik asas termasuk seni pada buih kopi,” katanya.

Tambah Afiq lagi, selaku wakil Barista Guild Asia berharap ini akan menggalakkan golongan muda cenderung menikmati kopi selain untuk dinikmati bersama keluarga.

“Ini juga satu skil saya rasa mereka boleh gunakan sebagai peluang untuk mencari duit poket sementara menunggu menyambung pengajian peringkat lagi tinggi,” katanya mengakui mahu lebih ramai membudayakan hidup menikmati kopi bermutu.

Teruja sertai bengkel

Menurut peserta, Siti Ulfah Sofia Sheikh Izhan, 14, dia teruja dapat menyertai bengkel dan mempelajari teknik betul dalam penyediaan kopi.

“Sebaik saya menyertai kelas ini saya mendapati penyediaan kopi tidak mudah. Perlu ada sukatan tepat, suhu tertentu dan menggunakan bahan betul memastikan rupa hidangan sempurna.

“Namun apabila setiap perkara itu diteliti dan difahami, ia proses menyeronok­kan. Lebih puas hati apabila kami berjaya membuat bentuk tertentu contohnya ‘hati’ menerusi teknik ‘dropping’,” katanya.

Tidak kisah tempuh perjalanan jauh

Buat peserta dari Georgetown, Pulau Pinang Yeow Jin Han, meskipun jarak perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur memakan masa 4 jam, ianya cukup berbaloi.

“Pada awalnya saya ingat kami hanya belajar satu dua jenis kopi tetapi lebih daripada enam jenis minuman.

“Masa kelas teori kami belajar jenis kopi serta cara betul termasuklah membancuh menggunakan mesin espresso. Ini kali pertama dan ia pengalaman mengujakan.

“Kami juga belajar mengenai disiplin dalam penyediaan kopi termasuk perlu membersihkan mesin kopi. Ini penting memastikan stesen bekerja sentiasa bersih dan teratur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:02 AM