DUA peragut yang merentap beg tangan penuntut kolej hingga tersembam.
DUA peragut yang merentap beg tangan penuntut kolej hingga tersembam.
Oleh Shahrul Nizam Mohamad


Kuantan: Dua penuntut kolej di Batu 5, Jalan Gambang, di sini, berdepan detik cemas apabila diragut dua lelaki bermotosikal sebelum kedua-dua mangsa tersembam di atas jalan akibat terjatuh, dalam kejadian di Taman Guru, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 20 tahun mengalami luka di badan dan seorang daripada mereka patah tangan, dibantu seorang wanita yang menjerit meminta bantuan penduduk taman berkenaan.

Difahamkan, kejadian itu tersebar luas melalui Facebook (FB) selain rakaman kamera litar tertututup (CCTV) berdurasi lapan saat itu mendapat kecaman pelbagai pihak yang meminta polis segera mengambil tindakan terhadap dua peragut terbabit.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, dengan bantuan orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Memang kejam dan tidak berperikemanusian. Saya sendiri melihat rakaman CCTV itu dan terkejut apabila melihat kedua-dua mangsa tersembam di atas jalan selepas beg tangan seorang daripada mangsa direntap peragut terbabit," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, seorang daripada mangsa hanya mengalami kerugian RM50 selepas wang tunai yang baru dikeluarkan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilarikan manakala seorang lagi mangsa tidak mengalami kerugian.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan lanjut dan mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 5:51 PM