Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Polis Perak menafikan laporan sebuah akhbar tempatan pada Ahad dan Isnin lalu yang mendakwa kawasan Kuala Sepetang, Taiping dekat sini, dikawal oleh kumpulan mafia dan kegiatan jenayah berleluasa berlaku di kawasan terbabit hingga mengakibatkan penduduk berasa tidak selamat.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata, pihaknya tidak menafikan memang berlaku jenayah di kawasan berkenaan, namun ia tidaklah seteruk apa yang dilaporkan akhbar terbabit sehingga mengatakan mafia bermaharajalela serta berlaku kegiatan jenayah seperti pencerobohan tanah kerajaan, penyeludupan, perjudian, kes bunuh, dadah, tembakan dan banyak lagi.

Menurutnya, akhbar terbabit juga menerbitkan laporan berkenaan tanpa mendapatkan pengesahan atau penjelasan daripada pihak polis hingga menyebabkan banyak maklumat tidak benar dilaporkan atau tersalah lapor.

"Saya tidak boleh mengatakan kawasan berkenaan sifar jenayah kerana itu mustahil, namun apa yang dilaporkan akhbar terbabit adalah tidak benar dengan mengatakan kumpulan mafia atau sindiket terancang bermaharajalela di kawasan Kuala Sepetang.

"Kawasan terbabit penuh dengan pelbagai aktiviti ekotourism seperti melihat ikan lumba-lumba, hutan paya bakau, aktiviti nelayan dan banyak lagi aktiviti tarikan pelancong serta sering dikunjungi pelancong terutama pada musim cuti dan hujung minggu.

"Polis setakat ini, tidak menerima sebarang laporan daripada pelancong yang berkunjung ke kawasan berkenaan mendakwa mereka diugut kumpulan samseng atau kongsi gelap, atau berlaku kes pelancong diragut dan diancam kumpulan mafia," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Paramasivam berkata, berdasarkan statistik dari tahun 2012 hinga 2014 menunjukkan kes jenayah kekerasan yang berlaku di kawasan terbabit hanyalah membabitkan lapan kes sahaja termasuk satu kes bunuh pada tahun lalu.

"Ia menunjukkan kejadian jenayah berat dikawasan berkenaan tidak serius, manakala bagi kes perjudian haram pula sebanyak 22 kes dilaporkan pada 2012, 19 kes (2013) dan 18 kes (2014).

"Sementara itu, bagi kes penyeludupan pula pada tahun ini sahaja sebanyak 36 kes dilaporkan membabitkan kes seludup rokok, arak, mercun, pendatang asing tanpa izin, haiwan liar dan beberapa kes penyeludupan diesel bersubsidi," katanya.

Menurutnya, laporan tidak tepat akhbar tempatan terbabit bukan sahaja menjejaskan intergriti Polis Perak, tetapi turut menyebabkan rasa kurang senang penduduk tempatan yang kebanyakannya bergantung hidup dengan aktiviti pelancongan.

"Satu laporan polis turut diterima daripada Ketua Kampung Kuala Sepetang, semalam yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan laporan akhbar terbabit yang boleh menjejaskan kehidupan dan pendapatan penduduk setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 2:58 PM