PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat dari feri yang karam selepas ia ditarik ke tebing, semalam.
PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat dari feri yang karam selepas ia ditarik ke tebing, semalam.

Dhaka: Jumlah kematian kemalangan feri di tengah Bangladesh kelmarin meningkat kepada 69 orang apabila lebih banyak mayat ditemui daripada rangka feri yang karam itu selepas ia berlanggar dengan sebuah kapal kargo.

Sebuah kapal penyelamat yang dilengkapi kren berjaya menarik feri itu ke permukaan air, membolehkan pasukan penyelam dari tentera laut dan jabatan bomba mencari mangsa yang terperangkap.

Usaha menyelamat dan mencari itu dijalankan sepanjang malam, sehari selepas kemalangan itu berlaku di Sungai Padma, antara yang terbesar di Bangladesh.

“Pagi ini, lebih banyak mayat ditemui dalam feri itu selepas ia dinaikkan ke permukaan air dan ditarik ke tebing. Jumlah korban kini ialah 69,” kata jurucakap polis, Inspektor Abdul Muktadir.

Feri itu adalah yang kedua karam dalam tempoh dua minggu di negara yang memang terkenal dengan kejadian kemalangan kapal.

Pegawai berkata, mereka tidak pasti jumlah penumpang yang hilang tetapi saksi berkata, lebih 150 orang berada di dalamnya ketika kemalangan.

Kira-kira 50 orang berjaya berenang ke tebing atau diselamatkan oleh kapal lain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:26 AM