SAARVINDRAN.
SAARVINDRAN.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Kemelut perpindahan bekas pemain Harimau Muda A, D Saarvindran ke Pahang akhirnya selesai selepas Selangor bersetuju menerima pampasan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Rosman Mohd Ibrahim yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pampasan perlu dibayar Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) bagi membolehkan pemain berusia 22 tahun itu beraksi musim ini.

“FAS setuju menerima tawaran PBNP bagi menyelesaikan isu Saarvindran. Kami tidak mahu memanjangkan isu ini dan bersetuju dengan nilai pampasan dibayar.

“Saarvindran boleh beraksi bersama Pahang musim ini dan saya harap isu ini tidak lagi dibangkitkan mana-mana pihak kerana kedua-dua persatuan sudah mencapai kata sepakat,” katanya.

Nasib pemain tengah Saarvindran untuk menyertai pasukan juara Piala Malaysia dan Piala FA 2014 Pahang menimbulkan tanda tanya selepas pasukan negeri kelahirannya, Selangor didakwa menuntut hak ke atas pemain itu selepas dilepaskan Harimau Muda A hujung tahun lalu.

Saarvindran dilapor sudah menandatangani kontrak bersama skuad Tok Gajah musim ini namun tidak melaporkan diri kepada FAS bersama dua lagi bekas rakan sepasukan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Saiful Ridzuwan Selamat mengikut peraturan kontrak FAM.

Namun dengan Selangor bersedia membuka meja rundingan, pemain yang masih bergelut untuk cergas sepenuhnya selepas berehat panjang akibat kecederaan kini boleh menarik nafas lega apabila isu itu akhirnya selesai dengan FAS sedia mengeluarkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) kepada Pahang tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 9:05 AM