AFP

Manchester: Pertahanan Manchester United, Chris Smalling mengaku persembahan pasukannya pada babak pertama tidak boleh diterima selepas mereka menundukkan Burnley 3-1 dan merampas semula tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

Pertahanan tengah itu menyumbang dua gol, pertama selepas hanya 22 saat masuk sebagai pemain gantian pada minit kelima, namun anak buah Louis van Gaal nyata lebih dikuasai lawan mereka yang diancam penyingkiran pada babak pertama.

“Babak pertama, kami perlu melihat diri sendiri dan memastikannya tidak berulang lagi,” kata Smalling.

“Jelas sekali, ia keputusan bagus yang kami catat ketika ini, tapi pengurus menyatakan babak pertama tidak boleh diterima dan saya fikir semua pemain sedar mengenainya.

“Jika kami terus mencatat kemenangan bermain secara buruk, maka apabila kami bermain baik pasti kami boleh lebih cemerlang dan memperagakan aksi lebih bagus di Old Trafford, itu sudah pasti.

“Ia tidak menggambarkan keputusan 3-1 terutama babak pertama. Kami perlu bermain lebih bagus daripada ini.”

United kini hanya kalah sekali dalam 18 perlawanan, sekalipun peminat tidak merungut mengenai corak permainan dan tuduhan mereka mengamalkan ‘hantaran bola tinggi’ ketika seri 1-1 di West Ham, Ahad lalu.

Namun mereka memerlukan dua gol ‘set-piece’ daripada Smalling, dengan Danny Ings menyamakan kedudukan manakala sepakan penalti lewat perlawanan Robin van Persie memusnahkan cabaran pasukan kendalian Sean Dyche.

“Ia tidak masuk akal,” jelas Smalling mengenai kali pertama menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan.

“Saya agak bertuah. Apabila anda tampil sebagai pertahanan, ia tidak pernah mudah. Tapi jika anda mendapat sepakan sudut, ia menghidangkan peluang dan saya bertuah kerana tidak dikawal.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:13 AM