YAMAHA R25.
YAMAHA R25.
BENTUK tajam.
BENTUK tajam.
TEMPAT duduk yang selesa.
TEMPAT duduk yang selesa.
LAMPU yang mempunyai dua bahagian.
LAMPU yang mempunyai dua bahagian.
PEREDAM bunyi di hujung  ekzos.
PEREDAM bunyi di hujung ekzos.
LAMPU belakang yang bergaya.
LAMPU belakang yang bergaya.
Oleh Erywan Norshal


Sekitar 1990-an, boleh dikatakan motosikal Yamaha TZM paling ‘top’ kerana bentuknya persis jentera dua roda kategori ‘sportbike’. Berbekalkan enjin dua lejang bersesaran 150 cc membuatkan TZM menjadi motosikal impian anak-anak muda pada zaman berkenaan.

Zaman kegemilangannya boleh dikatakan tidak terlalu lama kerana tiada lagi ‘pewaris’ yang diperkenalkan selepas itu.

Lepas lebih 20 tahun berlalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kembali menyinar dengan mengambil inisiatif baru untuk mengeluarkan motosikal ‘sportbike’ terbaru mereka menerusi Yamaha R25. Hala tujunya kini lebih tertumpu untuk menawar model berkuasa tinggi yang melakukan pemasangan tempatan (CKD) ke pasaran Malaysia.

Malah, Yamaha R25 menjadi motosikal yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat tempatan apabila bentuknya sungguh menawan dengan sentuhan daripada Yamaha YZF-R6 atau R1.

Apa yang menarik, bentuk motosikal ini menggunakan konsep mudah ditafsirkan iaitu menerapkan rekaan tajam. Selain memberi imej menarik, bentuk tajam itu sebenarnya banyak membantu untuk membelah rintangan angin bagi menstabilkan ketika menunggang pada kelajuan tinggi.

Ada juga yang kali pertama melihat motosikal itu berpendapat bentuknya seakan-akan jentera perlumbaan MotoGP. Boleh penulis katakan, Yamaha R25 jentera yang paling secocok untuk mereka beralih kepada motosikal berkuasa tinggi.

Badan penulis yang kerdil juga sesuai dengan motosikal ini, ia tidak terlalu besar dan berat, selain ketinggian boleh dianggap minimum. Berbekal ketinggian 1.63 meter, penulis selesa dan yakin apabila kedua-dua kaki boleh berpijak di tanah. Kedudukan posisi badan yang menunduk sedikit, tidak menjadi kesukaran untuk menunggang motosikal di kawasan kesesakan lalu lintas.

Selain mudah dikendalikan ketika mahu mencelah lalu lintas, sistem klacnya juga sangat ringan dan pengendalian gear enam kelajuan sangat mudah, teratur serta lancar.

Enjin dua silinder selari 249 cc yang digunakan mampu menghamburkan 35.5 hp pada 12,000rpm dan tork setinggi 22.1Nm pada 10,000 rpm.

Penulis juga berasa pendikit memberi tindak balas yang baik setiap kali pertukaran gear dilakukan dan kuasa tarikannya hanya akan terasa apabila mula mencecah 7,000 rpm.

Menariknya, setiap kali jarum rpm melebihi 9,000, lampu putih pada bahagian panel akan menyala menandakan kedudukan gear perlu ditukar kerana ia berfungsi untuk penjagaan enjin yang terbaik.

Ketika mengujinya di lebuh raya, ia boleh memecut sehingga 170 kilometer sejam (km/j) tetapi ada juga rakan penulis mendakwa jentera itu berupaya melepasi kelajuan berkenaan.

Apa yang pasti, pada kelajuan itu, motosikal berkenaan masih stabil dengan kedudukan penulis dilindungi pelindung angin di bahagian hadapan.

Dalam kelajuan sederhana antara 130 sehingga 140 km/, tidak banyak gegaran dirasa serta suspensinya rasa lebih selesa untuk menyerap keadaan jalan yang teruk. Pengendalian di selekoh pula, ia tidak banyak kerenah untuk menghadapi laluan itu kerana jentera berkenaan lebih ringan dengan berat 166 kilogram.

Pada aspek penggunaan minyak, agak sukar untuk penulis menilainya disebabkan gaya tunggangan yang agresif kerana dalam seminggu menunggangnya, penulis mengisi bahan api kira-kira RM30 untuk kegunaan harian.

Secara keseluruhan, jentera itu boleh dianggap terbaik. Cuma penulis rasakan peredam yang dipasang kurang sesuai kerana hasil bunyinya terlalu ‘manja’.

INFO

YAMAHA R25

ENJIN: 249cc, dua silinder, empat lejang, 8 injap, DOHC

KUASA MAKSIMUM: 36hp pada 12,000 rpm

TORK MAKSIMUM: 22.6Nm pada 10,000 rpm

TRANSMISI: Enam kelajuan

KAPASITI TANGKI: 14.3 liter

HARGA ASAS: RM19,783.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:03 AM