DUA buah kapal yang disita.
DUA buah kapal yang disita.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Dua kapten dan sembilan kru kapal berusia lingkungan 35 hingga 64 tahun ditahan manakala dua kapal tangki dengan kapasiti 120 tan metrik minyak hitam terpakai disita dalam satu operasi di sebuah jeti persendirian di Sungai Kong-kong Pasir Gudang kira-kira 6.30 petang Jumaat lalu.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya berbuat demikian selepas kedua kapten gagal mengemukakan sebarang dokumen mengenai pemindahan minyak terbabit.

"Bertindak di atas maklumat, dua bot ronda PPM Wilayah 2 membuat serbuan ke atas dua kapal yang sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak kapal ke kapal di sebuah jeti persendirian di Sungai Kong-kong Pasir Gudang.

"Semasa serbuan dilakukan terdapat sejumlah 14,000 liter minyak hitam terpakai dipindahkan ke sebuah kapal tangki ke sebuah kapal yang lain.

"Kedua kapten kapal gagal menunjukkan sebarang dokumen mengenai pemindahan minyak terbabit dan 11 orang krew kapal iaitu tujuh warga Indonesia selain empat warga Myanmar ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran selain menjalankan kegiatan berkenaan di kawasan yang tidak diwartakan.

"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 selain semuanya didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 4:29 PM