Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Gara-gara gagal melangsaikan pinjaman kereta, perumahan dan peribadi dikenalpasti sebagai sebab lebih 70 peratus golongan lelaki di negara ini diisytiharkan muflis berbanding kaum wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, lebih membimbangkan majoritinya terdiri daripada golongan belia dan sehingga Jun lalu, lebih 7,191 belia berusia dari 25 hingga 44 tahun sudah difailkan muflis.

Belia berkata, berdasarkan data Jabatan Insolvensi dari 2007 hingga Jun lalu, seramai 36, 104 individu diisytiharkan bankrap iaitu 26 peratus akibat gagal membayar ansuran kenderaan, 17.9 peratus (perumahan) dan 16 peratus (pinjaman peribadi).

"Golongan lelaki dikenalpasti sebagai kelompok yang paling besar diisytiharkan muflis dan daripada jumlah itu kaum belia mencatatkan peningkatkan membimbangkan apabila sehingga Jun lalu seramai 7,191 individu diisytiharkan bankrap.

"Kaum belia berusia dari 35 hingga 44 tahun adalah paling ramai diisyhtiharkan muflis iaitu 4,121 orang berbanding 2,491 orang (dari 25 hingga 34 tahun) dan 579 orang (bawah 25 tahun).

"Kerajaan memandang berat mengenai isu ini kerana ada kes di mana terdapat golongan mahasiswa yang belum bekerja tetapi mempunyai kad kredit selain ada kes di mana mereka sanggup meminjam dengan along untuk melangsaikan hutang dengan bank, ini tidak betul," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Memperkasa Informasi Generasi Muda di Auditorium Kompleks Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 3:41 PM