GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Eksport Malaysia melepasi RM1 trilion dalam tempoh lapan bulan, jangka masa tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai nilai itu apabila berkembang 30.3 peratus kepada RM1.014 trilion pada Ogos 2022.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertumbuhan eksport disumbangkan peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta barangan optik dan saintifik.

"Eksport keluaran petroleum, LNG serta barangan optik dan saintifik mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.

"Manakala, eksport ke rakan dagang utama khasnya Asean China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua angka. Nilai eksport bulanan tertinggi dicatatkan ke Jepun," katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohamed Azmin berkata, eksport barangan perkilangan pada Ogos 2022, yang mewakili 84.5 peratus daripada jumlah eksport naik 47.7 peratus tahun ke tahun kepada RM119.48 bilion.

Katanya, ini pertumbuhan dua angka yang ke-13 bulan berturut-turut.

"Pertumbuhan ini disokong kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan apabila setiap barangan ini merekodkan kenaikan melebihi RM1 bilion.

"Eksport hasil galian melonjak 59.1 peratus tahun ke tahun kepada RM10.77 bilion, adalah dua angka yang ke-18 bulan berturut-turut disumbangkan pertambahan eksport LNG dan petroleum mentah.

"Eksport keluaran pertanian meningkat 42.6 peratus kepada RM10.47 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-17 bulan berturut-turut. Kenaikan ini disokong eksport kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit," katanya.

Mohamed Azmin berkata, perdagangan Malaysia kekal kukuh pada Ogos 2022 dengan mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi perdagangan, eksport dan import, menjadikan nilai tertinggi bagi Ogos setakat ini.

Beliau berkata, perdagangan melonjak 56.7 peratus kepada RM265.74 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-19 bulan berturut-turut.

"Eksport meningkat 48.2 peratus kepada RM141.33 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-13 bulan berturut-turut.

"Import melonjak 67.6 peratus kepada RM124.41 bilion dan lebihan dagangan berkurang 19.9 peratus kepada RM16.92 bilion," katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, perdagangan meningkat 33.1 peratus kepada RM1.873 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, import bertambah 36.7 peratus kepada RM858.83 bilion dan lebihan dagangan naik 3.7 peratus kepada RM155.57 bilion.

"Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:58 AM