SEBAHAGIAN peserta, pengamal media bergambar bersama Khadar (lima dari kiri).
SEBAHAGIAN peserta, pengamal media bergambar bersama Khadar (lima dari kiri).
Oleh Azma Razana Johari


Perai: Dalam usaha merapatkan hubungan bersama pengamal media negeri, Nasmir Holding Sdn Bhd menganjurkan Kejohanan Bowling Nasmir Holding Bersama Media Pulau Pinang di Pusat Bowling Mega Lanes di Mega Mall Perai, baru-baru ini.

Pengarah Urusan Datuk Khadar Shah Abd Razak berkata, kejohanan bertujuan menjalin hubungan rapat antara pengamal media Pulau Pinang dan kakitangan syarikatnya sekali gus menghargai kerjasama kedua-dua pihak.

“Sebelum ini, kami kerap mengadakan pertandingan seumpama ini bersama media di wilayah utara, tetapi terhenti sejak beberapa tahun lalu.

“Kali ini kami mengadakan semula pertandingan bowling yang akan dijadikan acara tahunan bagi menghargai kerjasama media selama ini,” katanya.

Kejayaan mencatatkan 1,649 jatuhan pin membolehkan pasukan Kosmo diwakili Rizam Zakaria, Azeli Ali, Syakir Wahab dan seorang kakitangan Nasmir, Abu muncul juara untuk membawa pulang wang tunai RM400 dan pingat.

Tempat kedua dimenangi pasukan BERNAMA TV yang diwakili Mohd Naim, Mohd Izuwan, Hafiz Zulkifli dan Hassan dari Nasmir dengan 1,594 jatuhan pin manakala ketiga milik pasukan Utusan Malaysia (Mohd Khuzairi Ismail, Mohd Firdaus Ismail, Sazali Che Din) dan Rahim dengan 1,547 jatuhan pin.

Pemain terbaik lelaki disandang Sazali dengan 484 jatuhan pin manakala pemain terbaik wanita dimenangi Marliza Abu Bakar (RTM) 356 jatuhan pin.

Hadiah serta cabutan bertuah disampaikan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Said.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:10 AM