MINTA peminat doakan yang terbaik.
MINTA peminat doakan yang terbaik.
SHERRY enggan digandingkan bersama Fattah dalam drama.
SHERRY enggan digandingkan bersama Fattah dalam drama.
Syanty Octavia Amry


Pelakon Sherry Ibrahim mendedahkan kurang selesa jika sering digandingkan dengan kekasihnya, Fattah Amin dalam drama mahupun telefilem.

Dia yang popular menerusi drama Teduhan Kasih menegaskan sejak dulu tidak terlalu terbuka memperkatakan perihal cinta dan mengelak bekerja dengan Fattah.

“Saya tidak mahu peminat bosan apabila sering disajikan kisah cinta kami. Kalau boleh biarlah hal karier lebih diperkatakan berbanding cerita peribadi.

“Saya juga menolak digandingkan dengan Fattah dalam mana-mana drama tetapi tidak dapat mengelak dalam Cinta Ibadah terbitan Zeel Production.

“Terbaru kami digandingkan sekali lagi menerusi drama Manisnya Bulan Madu dan menjadi pasangan suami isteri.

“Selepas ini kalau ada tawaran lagi, akan dipertimbangkan. Bimbang pula peminat bosan kalau selalu nampak kami bergandingan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Laugh Out Loud Entertainment baru-baru ini.

Mengulas lanjut hubungannya dengan Fattah, Sherry berkata, belum ada perancangan melangsungkan perkahwinan.

Mereka masih dalam proses mengenal hati budi dan memberi ruang kepada diri masing-masing untuk memperkukuhkan karier terlebih dulu.

“Siapa tidak mahu hubungan yang dibina berakhir ke jenjang pelamin? Insya-Allah andai ada jodoh kami akan bersatu juga satu hari nanti.

“Sebagai manusia kita hanya mampu merancang, selebihnya berserah kepada-Nya. Doakan moga segalanya dipermudahkan dan hubungan kami berjalan lancar.

“Saya juga tidak mahu terlalu mendesak Fattah. Lagipun dia masih baru dalam bidang ini, banyak lagi perkara yang nak dikejar bagi membuktikan kemampuannya,” katanya.

Bakal menyambut lebaran di Kuang, Selangor, Sherry akan bercuti selama beberapa hari sebelum kembali sibuk dengan penggambaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 9:42 AM