Fattah tidak pernah terserempak Sherry selepas putus cinta. FOTO NSTP
Fattah tidak pernah terserempak Sherry selepas putus cinta. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon popular Fattah Amin mengakui 'dipulau' beberapa rakan bekas kekasihnya yang juga pelakon Sherry Ibrahim selepas mereka putus cinta sejak dua bulan lalu.

Fattah, 26, berkata, ada di antara rakan Sherry itu adalah rakan-rakan artis yang memang dikenalinya.

Bagaimanapun Fattah menganggap itu hak masing-masing dan dia tidak ada kuasa untuk menghalang perkara itu.

"Saya okay selagi perkara itu tidak mengganggu rutin harian dan kerja saya. Walaupun itu adalah tindakan yang tidak profesional, saya tak ada hak untuk memaksa mereka.

"Kalau tak nak berkawan dengan saya, tak mengapa. Bahasa mudahnya, saya pun tak hadap. Lagipun, saya ada kawan-kawan lain," katanya.

Fattah yang juga pelakon drama Suri Hati Mr Pilot ini berkata, dia tidak mahu mengambil pusing perkara itu kerana mahu memberi fokus kepada kerjaya lakonannya.

"Banyak lagi perkara dan masalah lain yang lebih penting. Saya jenis yang tidak pernah mencampuradukkan soal kerja dan peribadi," katanya.

Menurut Fattah, sejak putus cinta, dia tidak pernah lagi terserempak dengan Sherry di mana-mana acara begitu juga dengan rakan-rakan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 5:00 PM