Oleh Rudy Imran Shamsudin

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Namun, walaupun mempunyai kelebihan diwarisi dari keluarga, ia bukan penentu mutlak untuk meraih kejayaan.

Itulah dialami pendatang baru, Khairul Azhar Ramli, 25, yang mewarisi bakat datuknya yang juga Biduan Negara, Tan Sri SM Salim.

Mula menyanyi dari usia 12 tahun, Khairul Azhar atau mahu dikenali sebagai Karl Azhar mula menceburi industri muzik tempatan dengan single pertama, Sebaliknya, tahun lalu.

Sayangnya, lagu dihasilkan Esa Mustafa itu tidak mendapat tempat di hati masyarakat dan belum mampu mengang­kat nama Karl antara penyanyi baru mencuri tumpuan.

Karl akui terkilan dengan nasib menimpa lagu Sebaliknya. Katanya, walaupun pernah diputarkan di radio, jangka hayatnya tidak panjang.

"Baru saya tahu bukan senang hendak menjadi penyanyi, terutama dalam mempromosi karya yang kita hasilkan," katanya sewaktu mengunjungi Selebriti.

Ketika itu, Karl tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman dan segala urusan, bermula daripada pemilihan lagu, rakaman hinggalah promosi, dilakukan sendiri.

Katanya, bila buat sendiri, tentu banyak kekurangannya. Pertama sekali, lagu dihasilkan tidak ada yang membantu untuk mengetengahkannya.

"Saya cuba juga membantu promosi tetapi setakat di laman sosial saja. Kalau nama tidak dikenali, susah juga untuk orang tahu mengenai lagu yang saya dendangkan. Akhirnya lagu Sebaliknya tidak ke mana," katanya.

Kegagalan pertama tidak mematahkan semangat Karl, sebalikya terus mengkaji kesilapan lalu untuk diperbaik bagi projek akan datang.

Kali ini dia bekerjasama dengan Indigital Sdn Bhd, menghasilkan single Kembalilah ciptaan sepenuhnya Epul Roza dari kumpulan Drama Band.

"Saya lebih yakin dengan Kembalilah kerana karya Epul sebelum ini turut dikenali umum. Sekurang-kurangnya lagu Epul banyak menjadi runut bunyi filem dan drama.

"Apabila menjalin kerjasama dengan Epul, lagu nyanyian saya ada hala tuju promosinya. Sekurang-kurangnya untuk permulaan, ia dipilih menjadi runut bunyi filem terbaru Suamiku En. Perfect. Ia menjadi petanda awal yang baik untuk kerjaya seni saya," katanya.

Kata Karl, apabila menjalin kerjasama dengan Indigital, dia nampak perancangan bagaimana single keduanya mahu diarahkan dan promosi bagaimana boleh dilakukan supaya dapat diterima umum.

"Bayangkan, hari ini baru saya dapat bertemu teman media bagi mempromosikan Kembalilah. Sebelum ini peluang seperti ini tidak pernah saya peroleh," katanya.

Mengenai langkah menggunakan nama datuknya yang memang dihormati dalam industri muzik tempatan untuk membantunya lebih dikenali, Karl menegaskan mungkin ia boleh menjadi sebaliknya.

Kata Karl, dari sudut muzik saja, dia dan datuknya berbeza.

"Secara jujurnya walaupun saya cucu SM Salim, saya tidak boleh menyanyi lagu tradisional dengan baik. Ia bukan kepakaran dan minat saya.

"Walaupun datuk pernah mengajar, tetapi tidak mudah. Saya selalu gagal mendendangkan lagu tradisional dengan sempurna. Mungkin disebabkan jiwa saya yang lebih gemar mendendangkan lagu berentak pop dan balada," katanya.

Tambah Karl, datuknya pernah bekerja dengan Kementerian Penerangan dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tetapi sudah lama pencen, menyebabkan hubungan dengan rakan di sana sudah lama terputus, sekali gus sukar membantu.

"Tak mengapalah, zaman datuk sudah lepas dan sekarang masa saya. Jika dulu datuk berusaha sendiri untuk mengembangkan bakatnya, mengapa tidak saya melakukan perkara sama dengan berusaha dan mengetengahkan bakat sendiri. Jika kita bagus, lambat laun pasti peminat akan terima," katanya.

Berkongsi perkembangan terkini SM Salim, Karl akui datuknya makin uzur dan tidak sekuat dulu. Datuknya lebih banyak menghabiskan masa dengan berehat di rumah.

"Dalam keadaan usia lanjut, kesihatan juga mudah terganggu. Sebab itu dia tidak lagi mampu bergerak aktif," katanya.

Dalam usia 86 tahun, SM Salim dijaga isterinya Puan Sri Aishah Abd Ghani dan banyak menghabiskan masa di rumah mereka di Ukay Perdana, Ampang.

SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros adalah seniman kedua selepas P Ramlee bergelar Tan Sri.

SM Salim mula bekerja sebagai juruhebah Radio Malaya secara sambilan sejak 1957 dan ketika itu dikenali sebagai penyanyi lagu Melayu klasik (tradisional). Beliau diberi Anugerah Biduan Negara oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana sumbangan beliau memperjuangkan lagu asli Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:03 AM