KEADAAN jalan yang berlumpur selepas banjir surut.
KEADAAN jalan yang berlumpur selepas banjir surut.
SHARIFAH Mahsinah menunjukkan paras air banjir setinggi 3.2 meter.
SHARIFAH Mahsinah menunjukkan paras air banjir setinggi 3.2 meter.
BADAN Khairat NSTP menyampaikan sumbangan peralatan dapur, makanan dan wang tunai kepada kakitangan NSTP Kota Bharu, Kelantan.
BADAN Khairat NSTP menyampaikan sumbangan peralatan dapur, makanan dan wang tunai kepada kakitangan NSTP Kota Bharu, Kelantan.
Oleh Roslan Ibrahim

Ketika mahu keluar mengambil anak di sekolah bersama suami kira-kira jam 5 petang pada 24 Disember 2014, dia melihat air melimpah di luar pagar rumahnya di Taman Sireh, Kampung Paloh, Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan.

Ketika itu air hanya paras tumit, tetapi apabila pulang ke rumah bersama anaknya, air di paras lutut dan dalam tempoh sejam, air naik sehingga paras paha.

"Apabila melihat keadaan itu, saya tidak sedap hati dan merasakan sesuatu yang buruk mungkin berlaku.

"Tidak pernah dalam sejarah air boleh melimpah sehingga paras paha dalam tempoh singkat," kata wartawan New Strait Times (NST), Sharifah Mahsinah Syed Abdullah, 42, mengimbau detik cemas rumahnya dinaiki air dalam banjir besar di Kelantan, bulan lalu.

Sharifah ditemui ketika kunjungan jawatankuasa Badan Khairat NSTP bagi memberi bantuan peralatan rumah dan wang tunai kepada ahli dan kakitangan NSTP yang terbabit dalam banjir di Kelantan, baru-baru ini.

Seramai 26 kakitangan NSTP terbabit dalam bencana itu dan mereka diberi sumbangan wang tunai RM500, bekalan makanan dan peralatan rumah seperti penyidai.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Pengerusi Badan Khairat NSTP, Roslan Ibrahim. Turut hadir, setiausahanya, Ustaz Zamanuddin Jusoh.

Sharifah nyata terharu dengan kehadiran jawatankuasa Badan Khairat NSTP apatah lagi sumbangan yang diberikan itu amat diperlukan dalam keadaan mereka yang ditimpa bencana banjir berkenaan.

Rumah deret setingkat itu dinaiki air sedalam 3.2 meter sehingga menenggelamkan semua perkakas rumah termasuk perabot, barangan dapur dan kereta milik suaminya, jurugambar sambilan Berita Harian, Adnan Mohamad.

Katanya, ketika keluar dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang, masih ada beberapa penghuni di taman itu masih enggan keluar kerana yakin air akan surut dalam tempoh singkat.

"Saya mendapat tahu air sudah naik sehingga paras pinggang jam 9 malam dan saya tidak tahu nasib penghuni lain yang masih enggan keluar.

"Alhamdulillah, saya mendapat maklumat selepas itu, beberapa penghuni lain diselamatkan bot penyelamat yang kebetulan meronda di kawasan kami.

"Syukur kerana ada jiran yang mempunyai anak kecil dan jika lambat, pasti sesuatu yang buruk boleh berlaku," katanya.

Menurutnya, pada masa kejadian itu, dia masih dalam cuti sakit kerana pembedahan di bahagian tulang belakang.

"Keadaan saya masih lemah, bayangkan dengan anak, ia suatu trauma yang tidak mungkin dilupakan.

"Nasib baik suami ada ketika itu, jika tidak saya mungkin menghadapi masalah lebih teruk," katanya.

Air yang melimpah itu membuatkan tamannya seperti tasik dan keadaan itu berlarutan selama seminggu.

"Kami tinggal di hotel selama lapan hari sehingga 31 Disember dan menyambut tahun baru 2015 dalam keadaan sehelai sepinggang.

"Saya pulang ke rumah pada 2 Januari lalu dan keadaannya amat menyedihkan, semua kelengkapan rumah rosak dan diselaputi lumpur termasuk dokumen peribadi.

"Untuk membersihkan rumah dan barangan lain mengambil tempoh yang lama, malah banyak barangan terutama pakaian terpaksa dibuang," katanya.

Bagi Adnan, sejak menduduki taman itu empat tahun lalu, inilah kejadian banjir paling buruk pernah dialami.

"Ia menjadi kenangan saya seumur hidup," katanya.

Sementara itu, Zamanuddin berkata, sumbangan itu adalah tindakan serta-merta yang dilakukan Badan Khairat NSTP bagi meringankan beban ahli dan kakitangan NSTP yang ditimpa bencana banjir.

Beliau berkata, keputusan memberi sumbangan peralatan dapur dan wang tunai itu hasil mesyuarat bersama Pengerusi Badan Khairat NSTP, Datuk Mustapa Omar.

"Walaupun sumbangan itu kecil berbanding kerugian yang dialami ahli dan kakitangan NSTP, kami berharap ia sedikit sebanyak meringan beban mereka.

"Ia juga bukti kami prihatin dengan nasib mereka yang terjejas teruk dengan bencana alam itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 5:02 AM