Oleh Syafil Syazwan Jefri


Sebelum ini namanya pernah dikaitkan dengan pelakon Zul Ariffin selepas bergandingan dalam drama Rindu Awak 200%.

Bermula Januari ini, pelakon, Ayda Jebat, 22, atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat bakal tampil dengan drama Sesal Separuh Nyawa bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza.

Bagaimanapun, di Instagramnya, kebanyakan peminat meluahkan rasa tidak puas hati dengan gandingan itu kerana bagi mereka Ayda lebih sesuai menjadi pasangan Zul Ariffin manakala Aiman pula serasi bersama Emma Maembong.

“Bagi saya, Aiman rakan gandingan serasi untuk saya. Sebelum ini kami pernah bekerjasama dalam drama Isteri Sepenuh Masa dan telefilem Girlfriend Dari Neraka.

“Mungkin penonton nampak saya dan Zul serasi sebagai pasangan dalam drama dan Aiman pula dengan Emma. Hakikatnya, kalau mahu pergi jauh dalam bidang ini saya tidak boleh bergandingan dengan pelakon sama sahaja,” katanya.

Berkongsi strateginya mengubah stigma itu, Ayda yakin persembahannya dalam Sesal Separuh Nyawa mampu mencuri perhatian penonton.

“Apa yang penting sebagai pelakon saya kena komited dan berikan lakonan berkualiti. Daripada situ penonton dapat menilai dan nampak kepelbagaian dalam persembahan saya.

“Selepas itu mereka pasti dapat terima siapa pun rakan gandingan saya,” katanya.

Menjadikan Aaron Aziz sebagai contoh, kata Aida aktor terkenal itu bergandingan dengan ramai pelakon wanita dan berjaya menghidupkan watak dengan baik.

“Cuba lihat Aaron Aziz. Dia mampu bawa apa juga watak dengan berkesan, tidak kira siapa gandingannya.

“Baik dengan Maya Karin, Siti Saleha, Zara Zya, Lisa Surihani dan ramai lagi, semua tampak serasi dan okey. Saya mahu jadi seperti dia,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan menerima tawaran andai digandingkan dengan Zul selepas ini, Aida menegaskan tiada masalah.

“Saya okey. Sebelum ini pun, kami pernah bekerjasama secara profesional. Saya tidak ada apa-apa masalah dengan Zul,” katanya.

Menyentuh karier nyanyian, Ayda tidak terkilan apabila lagu dendangannya, Siapa Diriku tidak terpilih ke Anugerah Juara Lagu ke-30.

“Menerusi single pertama ini, saya dapat bertanding hingga ke peringkat separuh akhir.

“Itupun sudah besar maknanya bagi saya dan sangat bersyukur. Ia secara tidak langsung membakar semangat saya untuk hasilkan karya lebih baik selepas ini,” katanya.

Ayda tidak ketinggalan memaklumkan akan berada di Jakarta pada 15 hingga 17 Disember ini bagi merakamkan single kedua.

“Judulnya masih rahsia. Single ini ciptaan Kevin Chin dan diterbitkan penerbit dari Indonesia, Irwan Simanjuntak. Lirik pula hasil tulisan saya.

“Harap single ini diterima baik peminat seperti mana Jadi Diriku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 11:15 AM