ANGGOTA polis mengiringi Hamzani (kiri) dan Hisham Abdul Rahman di Mahkamah Butterworth. FOTO Danial Saad
ANGGOTA polis mengiringi Hamzani (kiri) dan Hisham Abdul Rahman di Mahkamah Butterworth. FOTO Danial Saad
Oleh Salman Hamat


Butterworth: Dua lelaki yang juga tahanan yang ditangkap semula selepas melarikan diri ketika sedang dibawa ke Mahkamah Butterworth dalam kejadian 7 Januari 2013, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Butterworth hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan selepas mereka mengaku bersalah atas tiga pertuduhan iaitu melakukan samun berkumpulan, melarikan diri dari tahanan polis dan memiliki senjata berbahaya.

Terdahulu tertuduh Hamzani Harun, 36, dan Hisham Abdul Rahman, 38, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan samun terhadap kedai permainan video di alamat No 2260 Tasek Gelugor, 5.20 pagi, 6 Julai 2012.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi kemudian menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan setiap seorang.

Manakala di Mahkamah Majistret, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah kerana melarikan diri dari tahanan polis pengiring di Jalan Susur Keluar Bagan Ajam (BORR), pada 9.45 pagi, 7 Januari 2013.

Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab menjatuhi hukuman penjara 20 bulan bagi kesalahan itu.

Muhammad Firdaus turut menjatuhi penjara empat bulan selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya.

Kedua-dua mahkamah menetapkan kesemua hukuman penjara dikenakan berjalan secara berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 1:37 PM