Riadz Radzi


SAYA tahu mengenai Sting agak lambat. Waktu itu dia bersama kumpulannya The Police sudah pun muncul dengan album kelima, Synchronicity pada 1983 yang juga album terakhir mereka sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

Ianya sudah tentulah kerana lagu 'super-popular' mereka yang paling 'evergreen'- Every Breath You Take.

Selepas itu baru dapat tahu album terdahulu mereka antaranya Outlandos d'Amour, Reggatta de Blanc dan Zenyatta Mondatta dengan lagu-lagu hit seperti Roxanne, So Lonely, Message In A Bottle, Walking On The Moon dan banyak lagi.

Ini termasuk kerjaya solonya yang lebih sukses antaranya menerusi album seperti Nothing Like The Sun, Mercury Falling dan Brand New Day.

Jadi, apabila Sting memilih Kuala Lumpur sebagai antara lokasi konsert jelajahnya iaitu My Songs Tour di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre baru-baru ini, ia sesuatu yang sukar dilepaskan.

Apa yang menarik, tiket konsert ini 'sold-out' pada hari kedua jualan dan pada hari konsert, Plenary Hall padat dengan lebih 3,000 penonton.

Rata-ratanya teruja dengan Sting atau nama sebenarnya Gordon Sumner yang kini berusia 71 tahun, tetapi langsung tidak seperti usianya itu ketika di pentas.

"Suara tak berubahlah. Sama macam dulu," itu kata seorang penonton yang duduk berdekatan saya saat Sting membuka pentas dengan lagu Message In A Bottle.

Selain menyanyi, Sting juga dikenali sebagai pemain bass yang hebat dan malam itu Sting tampil dengan bass Fender Precision'57 yang cukup sinonim dengannya.

"Suara 'power', main bass pun dahsyat," itu antara komen penonton terhadap penyanyi berasal dari Newcastle, England ini.

Tanpa banyak bicara, Sting meneruskan dengan lagu Englishman In New York dari album solo keduanya,...Nothing Like The Sun dan lagu era The Police, Every Little Thing She Does Is Magic.

Sebenarnya ini kali keempat Sting mengadakan konsert di Kuala Lumpur. Kali terakhir pada 2005 di Stadium Putra, Bukit Jalil (kini Axiata Arena).

Kali pertama Sting mengadakan konsert di sini ialah sekitar 1990-an di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (kini WTC Kuala Lumpur).

Rezeki saya hanya ditakdirkan berpeluang menonton konsert Sting ketika dia sudah berusia 71 tahun. Jika berpeluang menonton ketika dia berusia 20-an atau 30-an terutama ketika era The Police, tentu pengalamannya berbeza.

Terbayang-bayang pula alangkah seronoknya jika anggota The Police, Andy Summers (gitar) dan Stewart Copeland (dram) turut di atas pentas membawakan lagu Roxanne atau So Lonely.

Namun, itu tidak akan berlaku kerana kali terakhir The Police mengadakan konsert ialah ketika The Police Reunion Tour pada 2007 hingga 2008 lalu.

Malam itu, Sting diiringi pemuzik seperti Dominic Miller (gitar), Zach Jones (dram), Kevon Webster (keyboard), Shane Sager (harmonica) serta penyanyi latar, Gene Noble dan Melissa Musique.

Yang pasti, Sting tidak mengecewakan peminatnya di sini apabila dia membawakan kebanyakan lagu solo popularnya dan juga lagu era The Police.

Selain Message In A Bottle, lagu-lagu The Police yang dibawakan ialah Every Little Thing She Does Is Magic,Wrapped Around Your Finger, Walking On The Moon, So Lonely, King Of Pain, Every Breath You Take dan Roxanne.

Lagu-lagu dari album solonya ialah Englishman In New York, If It's Love, Loving You, Rushing Water, If I Ever Lose My Faith In You, Fields Of Gold, Brand New Day, Shape Of My Heart, Heavy Cloud No Rain, Seven Days, Mad About You, What Could Have Been, Desert Rose dan Fragile.

Konsert itu turut menampilkan anak Sting, Joe Sumner yang membuat persembahan pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 6:30 AM