FARIDAH Muhamad.
FARIDAH Muhamad.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

"Gejala awal memang sudah dirasai selepas melahirkan anak kedua pada 1991 seperti sakit belakang dan pendarahan berlebihan ketika haid.

"Namun, saya terlepas pandang terhadap gejala yang dialami dan menganggapnya masalah senggugut kerana biasa mengalami rasa sakit di bahagian bawah ari-ari seperti sakit selepas habis haid.

"Sakit berkenaan dirasai di awal atau akhir haid, namun kadangkala ia berlaku sepanjang tempoh haid. Selepas itu, saya cuba mengandung, namun keguguran sebanyak dua kali dan doktor menyarankan saya melakukan ujian Pap smear untuk mengetahui punca sebenar kesakitan," kata bekas pesakit kanser pangkal rahim, Faridah Muhamad, 51.

Hingga 2002, dia mengalami kesakitan yang teruk di bahagian ari-ari hingga perlu dibawa ke hospital. Namun, ketika itu doktor mengesahkan apendiks pecah dan pada masa sama mengesan ovari sebelah kanan bernanah.

Ketika pembedahan membuang apendiks, ovari kanan juga terpaksa dibuang. Namun, kesakitan yang dialami sebelum pembedahan berlarutan dan doktor menyarankan Faridah melakukan pembedahan semula.

"Suami saya tidak bersetuju dan kami mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di hospital berlainan. Doktor menyarankan saya untuk melakukan ujian biopsi dan mendapati ada ketumbuhan di bahagian atas serviks, betul-betul di bahagian jalan bayi keluar.

"Disebabkan ketumbuhan sudah besar iaitu lima sentimeter, ia menolak saluran rektum (usus besar) hingga menyebabkan saya sukar membuang air besar.

"Apabila disahkan terdapat ketumbuhan, saya dirujuk kepada pakar kanser untuk melakukan rawatan kemoterapi bagi mengecutkan ketumbuhan hingga satu sentimeter sebelum melakukan pembedahan," katanya.

Selepas perbincangan bersama suami dan doktor, bagi mengelakkan risiko kanser merebak ke bahagian lain, rahimnya terpaksa dibuang secara keseluruhan.

Selepas pembedahan, dia perlu menjalani rawatan radioterapi sebanyak 25 kali dan sekali radioterapi dalaman kerana ketumbuhan yang terletak di bahagian atas rahim, justeru perlu untuk membersihkan ketumbuhan keseluruhan di kawasan berkenaan.

Selepas rahim dibuang, kesannya sama seperti menopaus. Antara kesan yang dihadapi ialah badan berasa panas, kulit kering selain perlu mengawal pengambilan kalsium serta kolesterol bagi mengelak masalah osteoperosis dan penyakit kronik lain.

"Bagi menjaga kesihatan selepas mengalami tempoh menyakitkan, saya perlu bersenam dan menjaga pemakanan mengikut diet seimbang. Saya mengelak daripada melakukan senaman berat, sebaliknya banyak berjalan dalam tempoh 10 minit atau lebih setiap hari.

"Saya ambil hidangan sama seperti sebelum sakit, namun tenaga yang diambil perlu digunakan dengan baik seperti berkebun di rumah. Saya mulakan aktiviti berkebun selepas menghidap kanser bagi mendapatkan oksigen dan persekitaran yang segar bagi memastikan pemulihan berlaku dengan pantas," katanya.

Faridah ingin menasihati semua wanita supaya membuat saringan awal dan melakukan pemeriksaan berkala selepas berusia 35 tahun bagi memastikan kesihatan badan sentiasa terjaga.

Selain itu, elak daripada terdedah dengan persekitaran atau individu yang merokok bagi mengurangkan kesan buruk kepada kesihatan badan.

Dia yang juga aktif dengan Pink Unity menasihatkan agar sesiapa saja menjaga pemakanan selain memperbanyakkan pengambilan sayur dan buah.

"Bagi saya, banyak kebaikan yang diperoleh jika kita membuat saringan awal kerana ia boleh menyelamatkan nyawa dan kos perubatan. Tidak dinafikan saya sendiri sudah menghabiskan kira-kira RM500,000 bagi mengubati serta melawan kanser," tegasnya.

Membesar tanpa henti

Setiap sel di dalam badan mengalami pusingan jangka hayat untuk membiak dan berhubung kait dengan sel lain di sepanjang masa kehidupan.

Namun, berbeza dengan sel kanser. Kanser terjadi apabila sel dalam badan membiak serta membesar tanpa henti hingga menjadi ketulan dan ia boleh merebak menjadi kanser jika tidak dirawat awal.

Sel kanser tidak mempedulikan sel lain di dalam badan, memusnahkan sel bersebelahan dan boleh merebak kepada organ serta tisu lain.

Kanser mengakibatkan daya tahan badan menurun, memusnahkan organ dan tulang serta melemahkan sistem pertahanan (imun) badan untuk melawan penyakit.

Menurut Ketua Klinik Saringan Kanser dan Kesihatan Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM), Dr Dalilah Kamaruddin, kanser ini seperti parasit dan ia akan masuk melalui darah ke dalam organ lain seperti hati, ginjal dan otak.

"Kanser disebabkan oleh pelbagai faktor seperti diet, merokok, obesiti, persekitaran, virus, genetik dan bahan kimia. Ramai yang menghidap kanser disebabkan diet, obesiti, merokok dan tembakau (kira-kira 60 peratus) adalah lebih tinggi berbanding faktor genetik.

"Sikap tunggu dan berserah kepada takdir tanpa melakukan sebarang pemeriksaan sudah menjadi satu mentaliti dalam kalangan masyarakat di negara ini yang menyebabkan kanser tidak dapat dikesan awal," katanya.

Tanpa disedari kanser juga terjadi di negara mundur yang kesannya lebih teruk berbanding negara membangun. Kajian Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (Globocan) pada 2012 menunjukkan 14.1 juta kes baru, 8.2 juta kematian dan 32.6 juta orang hidup dengan kanser dalam tempoh lima tahun diagnosis di seluruh dunia.

Sebanyak 57 peratus (lapan juta) kes baru, 65 peratus (5.3 juta) kematian dan 48 peratus (15.6 juta) kes kanser lazim berlaku dalam tempoh lima tahun di negara kurang maju.

"Pengesanan awal gejala ini banyak membantu pesakit dirawat awal. Semua jenis kanser, jika disaring dan dikesan awal peluang pesakit untuk hidup lebih tinggi.

"Misalnya di Malaysia, satu daripada 19 wanita mendapat kanser payudara berbanding seorang daripada lapan di Amerika Syarikat. Namun kes kematian di Malaysia lebih tinggi berbanding di Amerika Syarikat disebabkan mereka melakukan saringan awal untuk merawat kanser dengan cepat," katanya.

Peningkatan jumlah kes kanser mungkin disebabkan oleh jumlah pesakit yang membuat saringan meningkat, persekitaran dan pengetahuan mengenai kanser yang semakin meluas.

Justeru, Hari Kanser Sedunia disambut setiap 8 Februari bagi memperingati bahaya kanser dan menyebarkan maklumat berkaitan bagi mencegah kanser kepada orang awam dan pengamal perubatan.

Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Kesatuan Antarabangsa Melawan Kanser (UICC) di bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Pada tahun ini, mereka mengambil keputusan untuk menangani dan mengurangkan beban kanser secara global.

NCSM memberi tumpuan untuk mendidik dan mendedahkan mengenai gejala normal kanser kepada pengamal perubatan bagi menyedarkan mereka waktu sesuai menghantar pesakit terus ke hospital dengan segera.

Selain itu, persatuan berkenaan juga sentiasa memberi ceramah kesedaran mengenai kanser, kempen kanser pangkal rahim dan payudara, bengkel, latihan serta mendidik generasi muda mengenai bahaya barah, diet seimbang serta gaya hidup di peringkat sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 5:05 AM